fbpx

Pengalaman tunai haji tanpa mahram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MEKAH – Warga Pakistan berumur 35 tahun, Bushra Shah gembira dapat merealisasikan impian mengerjakan haji di Mekah dan pada tahun ini, dia pergi ke kota suci itu tanpa ditemani oleh suaminya.

Kementerian Haji Arab Saudi secara rasmi mengizinkan wanita daripada semua peringkat umur untuk menunaikan haji tanpa ditemani mahram dengan syarat mereka pergi secara berkumpulan.

Keputusan itu susulan reformasi sosial diterajui oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Beliau berusaha memadamkan imej konservatif dan membuka ekonomi Arab Saudi bagi mengelak kebergantungan pada sumber minyak.

Sejak Putera Mohammed berkuasa, wanita telah dibenarkan untuk memandu dan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa mahram walaupun beliau bertindak keras terhadap pengkritik termasuk aktivis hak wanita.

“Ini seperti mimpi menjadi kenyataan. Impian masa kecil saya adalah menunaikan haji,” kata Bushra kepada AFP sebelum berangkat dari rumahnya di Jeddah iaitu bandar pelabuhan utama di Arab Saudi

 

BUSHRA mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya sebelum menuju ke kota Mekah dari Jeddah pada 16 Julai lalu. – AFP

Bushra adalah salah seorang daripada 60,000 jemaah yang dipilih untuk menunaikan ibadah haji berskala kecil pada tahun kedua berturut-turut kerana pademik koronavirus.

Hanya warganegara dan penduduk Arab Saudi yang dipilih menerusi undian dibenarkan mengerjakan ibadah tersebut tahun ini.

Beberapa pegawai haji berkata, sebanyak 40 peratus jemaah tahun ini adalah wanita.

“Ramai wanita turut serta seperti saya. Saya sangat bangga kerana kami (wanita) sekarang boleh berdikari dan tidak memerlukan mahram,” kata Bushra.

Suaminya, Ali Murtada berkata, dia ‘sangat menggalakkan’ isterinya untuk melakukan perjalanan bersendirian setelah Riyadh melarang kanak-kanak turut serta dalam ibadah haji kali ini.

Dia pula tinggal di Jeddah untuk menjaga anak mereka.

Tidak jelas bila kementerian haji membatalkan larangan itu, manakala beberapa wanita melaporkan bahawa agensi pelancongan masih keberatan menerima wanita tanpa mahram untuk menunaikan haji.

Pihak berkuasa sebelum ini menghendaki kehadiran penjaga lelaki bagi mana-mana jemaah wanita yang berusia bawah 45 tahun.

Peraturan tersebut menghalang ramai wanita Muslim di seluruh dunia daripada mengerjakan haji.

Kelonggaran itu turut disambut baik oleh Marwa Shaker yang berasal dari Mesir dan tinggal di ibukota Arab Saudi, Riyadh.

“Haji tanpa mahram adalah satu keajaiban,” kata Marwa, 42, yang bekerja untuk sebuah organisasi kemasyarakatan.

Bertolak ke Mekah bersama tiga rakannya, ibu tiga anak itu telah beberapa kali berusaha untuk menunaikan haji sebelum pandemik melanda. Namun, dia tidak dapat melakukannya kerana suaminya sudah mengerjakan haji dan perlu menunggu lebih lama untuk pergi kali kedua.

“Saya merasa sangat gembira. Tuhan memanggil saya di sebalik semua rintangan ini,” katanya.

Bagi Sadaf Ghafoor yang merupakan seorang doktor berdarah Britain-Pakistan pula, perjalanan tanpa penjaga lelaki adalah ‘satu-satunya pilihan yang ada.’

“Kami tidak boleh membiarkan anak-anak bersendirian,” kata wanita berusia 40 tahun itu mengenai tiga anaknya yang masih kecil.

Suaminya memutuskan untuk menjaga anak-anak mereka dan Sadaf menuju ke Mekah bersama jirannya yang juga wanita.

“Tidak mudah membuat keputusan untuk pergi sendiri tetapi kami mengambil kesempatan ini dan menganggapnya sebagai keberkatan,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI