LONDON – Seorang wanita berdepan kesukaran masuk ke dalam rumah sendiri selepas pintu hadapan sering dijadikan lokasi bergambar pelancong, lapor akhbar New York Post, semalam.
Rumah Eleri Morgan menjadi tumpuan orang ramai selepas dia mengecatnya dengan rona merah jambu dan menjadikan ia menyerlah berbanding kediaman lain di lorong sama.
Morgan dari Cardiff yang membeli kediaman itu pada 2018 mengecat rumah tersebut dengan warna merah jambu terang ketika perintah berkurung.
“Selepas hidup menyewa selama bertahun-tahun di mana dinding biasanya berwarna putih, saya rasa bebas apabila dapat tinggal di dalam rumah sendiri dengan warna berbeza,” katanya.
Morgan bagaimanapun berkata pesohor media sosial sering menggunakan dinding rumahnya itu sebagai latar belakang foto yang dimuat naik ke akaun masing-masing.
“Saya sering menerima mesej daripada rakan-rakan yang bertanya mengapa rumah saya ada di media sosial,” jelas Morgan.
Biarpun pernah terpaksa menunggu 10 minit di dalam kereta untuk masuk ke rumahnya, Morgan berkata dia tidak kisah dan tidak akan sesekali menyuruh mereka beredar.
“Saya fikir, jika ia berlaku kepada saya, saya pasti akan berasa amat malu,” katanya. -Agensi