SUNGAI BULOH – Seorang lelaki warga asing maut selepas tercampak sejauh 80 meter setelah dirempuh sebuah kereta ketika melintas di Kilometer 452.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi itu, mangsa, Kyaw Naing Lin, 25, disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku di lorong kanan.
“Mangsa dilanggar seorang wanita yang memandu kereta jenis Nissan Almeera menyebabkannya tercampak sejauh 80 meter.
“Kita telah melakukan siasatan di tempat kejadian dan menahan pemandu kereta. Waris si mati dan saksi sedang dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, seorang penunggang motosikal menemui ajal selepas melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 452.9, lebuh raya sama arah utara.
Shafa’aton berkata, kejadian melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori dan dua buah motosikal jenis Yamaha Lagenda serta 135 LC.
Pelanggaran itu menyebabkan mangsa, Muhammad Hazirul Afiq Hairul Anuar, 24, yang menunggang Yamaha Lagenda terjatuh.
Adik mangsa, Muhammad Hazrul Aiman Hairul Anuar, 20, yang menunggang Yamaha 135LC hilang kawalan sebelum terjatuh. Mangsa mengalami luka di tangan.
Hazirul Afiq disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Sungai Buloh pukul 10.20 pagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 atau menghubungi balai berhampiran. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929