fbpx

Jemaah haji Malaysia dijadual nafar awwal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jemaah haji Malaysia mematuhi arahan waktu melontar di Kompleks Jamrah dan dijangka nafar awwal iaitu meringkaskan tempoh pelaksanaan ibadah dan meninggalkan Mina pada 12 Zulhijah, esok.

Seorang jemaah, Nazirah Jamaluddin, 59, berkata, dia kini sedang menunggu untuk melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Sugra, Wusta dan Kubra pada hari tasyrik.

“Alhamdulillah perjalanan ibadah haji berjalan lancar walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas. Insya-Allah saya akan buat nafar awwal pada hari kedua melontar iaitu pada 12 Zulhijah (esok).

“Rata-rata jemaah haji pada tahun ini nafar awwal kerana jemaah dikawal rapi dan tidak boleh sewenang-wenangnya keluar masuk ke khemah penginapan di Mina,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tujuan nafar awwal dibuat adalah untuk meringkaskan tempoh pelaksanaan ibadah haji dengan antara syarat-syarat pelaksanaannya ialah jemaah perlu meninggalkan Mina sebelum jatuh matahari pada 12 Zulhijah.

Selain itu, jemaah tersebut telah menyempurnakan kesemua lontaran di ketiga-tiga jamrah bagi dua hari tasyrik iaitu pada 11 dan 12 Zulhijjah serta telah bermabit di Mina selama dua malam dengan sempurna.

Seorang lagi jemaah haji dari Malaysia, Ahmad Najhan Hassim, 30, berkata, jika diikutkan, kerja-kerja haji wajib sudah selesai semalam selepas jemaah melontar Jamratul Aqabah.

“Usai daripada itu jemaah sudah boleh bercukur dan tidak perlu lagi memakai ihram. Jadi untuk hari ini dan esok cuma tinggal melontar ketiga-tiga jamrah dengan waktu afdal melontar ialah selepas azan Zohor nanti,” katanya.

Waktu Zohor di tanah suci Mekah pada hari ini ialah pada pukul 12.27 tengah hari atau pukul 5.27 petang waktu Malaysia.

Jururawat di Hospital Pakar King Faisal, Jeddah itu menjelaskan, terdapat dua tarikh akhir haji iaitu bagi yang nafar awwal ialah esok iaitu selepas selesai melontar dan melakukan tawaf wada (selamat tinggal) sebelum tergelincirnya matahari.

“Manakala bagi yang nafar thani iaitu jemaah yang melaksanakan ibadah haji seperti biasa akan berakhir pada 13 Zulhijah (Jumaat),” jelasnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI