fbpx

Ikhtiar zuriat Aprena Manrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APRENA MANROSE

USIA perkahwinan pelakon Aprena Manrose dan suaminya , Mohd. Afiq Hazman bakal memasuki tahun kelima pada November depan. Tiada lain yang diimpikan mereka seperti pasangan lain iaitu rezeki mendapat cahaya mata.

Biarpun reda belum dikurniakan anugerah memiliki zuriat yang bakal tiba agak lewat, namun impian terbesar tersebut tidak pernah padam dalam hati pemilik nama sebenar, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman itu.

Akuinya, sebagai wanita bergelar isteri, bohonglah jika dia tidak pernah berasa tertekan dengan keadaan tersebut.

“Sudah semestinya saya tertekan kerana sudah berkahwin lebih empat tahun. Jika diikutkan, saya memang mahu anak, tetapi belum ada rezeki. Saya percayakan perancangan Allah, rezeki (anak) akan tetap ada.

“Sekarang saya berusaha juga pergi ke hospital untuk mencari rawatan yang sesuai bagi memperoleh cahaya mata,” kongsi wanita berusia 28 tahun itu.

Menurut Aprena, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) memberi hikmah buatnya. Ibarat mendapat rehat yang panjang, Aprena akhirnya memiliki masa untuk memikirkan soal ikhtiar mendapatkan cahaya mata.

SELEPAS lebih empat tahun mendirikan rumah tangga, tiada lain yang diimpikan pelakon Aprena Manrose selain dikurniakan cahaya mata. Meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, Aprena tetap berusaha dengan menjalani rawatan kesuburan.

Justeru, pelakon yang juga anak kepada penyanyi Iwan Dangdut itu telah mula menjalani rawatan kesuburan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor pada Mei lalu.

Aprena bagaimanapun memilih untuk merahsiakan jenis rawatan yang dijalaninya.

“Sejujurnya, saya telah menjalani rawatan kesuburan pada Mei dan bersambung pada Jun. Setakat ini rasanya biarlah saya rahsiakan dahulu jenis rawatan yang dijalani, andai berjaya kelak barulah saya kongsi kepada semua. Doa dan harapkan yang terbaik buat saya,” tutur Aprena.

Atas alasan kukuh demi mendapatkan cahaya mata, Aprena yang pernah positif virus Covid-19 pada Januari lalu terpaksa menangguhkan penerimaan suntikan vaksin.

“Memang benar, saya menangguhkan penerimaan suntikan vaksin Covid-19 kerana bimbang akan mengganggu proses rawatan yang dijalani. Alhamdulillah, kesihatan saya berada dalam keadaan baik meskipun pernah dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Disoal tentang perasaannya setiap kali soalan berkaitan anak diajukan, Aprena sambil tertawa kecil mengakui sudah lali dan tidak kisah dengan pertanyaan tersebut.

Dia bahkan bersyukur kerana orang di sekeliling, termasuk peminat sentiasa memberi semangat positif.

“Saya tidak berasa sensitif jika orang tanya tentang anak. Saya tahu perkara tersebut akan ditanya disebabkan saya telah berkahwin. Setakat ini saya tidak pernah menerima kecaman hanya kerana tidak memiliki anak,” kata Aprena.

APRENA tidak mahu tertekan dan tidak mahu terikut rasa sensitif bila disoal tentang zuriat.

Imej

Beralih tentang penampilan terkininya, adik kepada pelakon Oktovia Manrose itu mengundang persoalan apabila sering dilihat berhijab setiap kali memuat naik gambar dalam akaun media sosialnya sejak kebelakangan ini.

Malah, Aprena juga dilihat memakai selendang berwarna hitam pada sesi sidang akhbar drama terbaharunya, Hatimu Sedingin Salju yang berlangsung secara virtual baru-baru ini.

Akui anak kepada pelakon Allahyarham Rosnah Mohd. Noor itu, dia sememangnya dalam proses belajar berhijab.

“Ya, saya sedang belajar untuk bertudung,” kata Aprena yang belajar berhijab sejak Ramadan lalu.

Sungguhpun begitu, Aprena pantas mengakui, belum berhijab sepenuhnya dan masih menerima tawaran lakonan tidak berhijab sama seperti dahulu.

“Sebab itu, saya tidak mahu bercakap apa-apa (tentang berhijab) kerana tidak tahu bagaimana masa depan. Saya masih terima tawaran lakonan yang tidak bertudung sebab memang sudah dijanjikan sebelum ini,” katanya lagi.

Biarpun tidak meletakkan sebarang sasaran bila untuk berhijab penuh, Aprena mengharapkan doa yang baik daripada peminat.

“Soal berhijab kalau boleh saya tidak mahu bercakap apa-apa. Biarlah jika perkara itu berlaku (berhijab sepenuhnya) saya yang akan beritahu sendiri. Mohon semua orang doakan yang baik-baik buat saya,” katanya.

SERING berselendang ketika memuat naik gambar dalam media sosial, Aprena mengakui sedang belajar untuk berhijab.

Suami tak cemburu

Menyentuh tentang karier seninya, pelakon yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu menjelaskan dia tidak bekerja sejak Ramadan lalu.

Pada awalnya, dia memang menolak beberapa tawaran kerja untuk memberi fokus kepada ibadah pada bulan Ramadan.

Namun, Aprena tidak menyangka dia akan bercuti lebih panjang sehingga ke hari ini kerana kes Covid-19 di Malaysia semakin membimbangkan dan semua penggambaran dihentikan buat sementara waktu apabila PKP dan Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan.

“Hampir tiga bulan saya tidak bekerja, jadi hanya duduk di rumah. Saya belajar memasak dan dekatkan diri dengan Allah.

MENGHAMPIRI tahun kelima perkahwinan, Aprena mengakui sedang menjalani rawatan kesuburan di sebuah hospital swasta untuk memiliki cahaya mata.

“Masa berehat saya gunakan untuk fokus pada perniagaan kecantikan bawah jenama Aprena yang dimulakan pada April lalu,” kata Aprena.

Seperti mana orang lain yang turut terkesan, Aprena juga berharap dapat kembali bekerja. Menurutnya, terdapat beberapa buah drama lakonannya yang masih tertangguh penggambaran.

“Jika mengikut jadual sepatutnya sekarang saya sudah berada di set penggambaran, namun terpaksa akur apabila penggambaran tidak dibenarkan.

“Saya sedih melihat begitu ramai orang terjejas dan saya juga tidak berkecuali. Semoga dugaan pandemik berlalu dengan segera dan kita semua dapat menjalani kehidupan seperti dahulu,” luah Aprena.

Bercerita tentang drama terbaharunya Hatimu Sedingin Salju yang kini sedang hangat ditayangkan menerusi slot Akasia TV3, selain cabaran melakukan penggambaran ketika musim pandemik, Aprena bersyukur kerana barisan pelakon merupakan sahabat baik sendiri iaitu Hisyam Hamid dan Hafeez Mikail.

Akui Aprena, suaminya jarang menonton drama lakonannya. Namun, dia yakin suaminya pasti menonton drama Hatimu Sedingin Salju kerana hero gandingannya ialah Hisyam Hamid.

“Saya yakin suami akan menontonnya kerana hero drama ini Hisyam Hamid yang merupakan sahabat suami saya juga, kami sudah seperti keluarga. Hisyam sangat profesional dan menghormati status saya sebagai isteri apabila meminta keizinan suami terlebih dahulu untuk bergandingan.

DRAMA Hatimu Sedingin Salju lakonan Aprena disamping Hisyam Hamid dan Hafeez Mikail sebanyak 28 episod kini sedang hangat ditayangkan menerusi slot Akasia TV3.

“Sebagai isteri, saya juga akan berbincang dengan suami terlebih dahulu setiap kali menerima tawaran kerja. Suami, sentiasa memberikan sokongan kerana dia tahu sumber rezeki saya adalah menerusi lakonan.

“Tidak pernah timbul sebarang isu hanya kerana status saya yang telah berkahwin. Saya tahu menjaga batas dan pihak TV3 sendiri apabila mengetahui heroin sudah berkahwin banyak babak yang boleh menimbulkan isu tidak dibenarkan. Lagi pun lakonan di Malaysia, memang tiada babak keterlaluan,” kata Aprena.

Sambung graduan Diploma Penyiaran & Perfileman, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu, meskipun berstatus isteri orang , dia tidak terlepas daripada gangguan lelaki-lelaki nakal yang menghantar mesej berbaur lucah dalam Instagram.

Jelasnya, perkara itu berlaku mungkin kerana ramai yang menyangka dia masih bujang. Malah, dia sering dimarahi pengikut Instagram kerana bergambar rapat dengan suami yang disangka sebagai kekasihnya.

“Saya sering menerima mesej lucah dan tidak senonoh daripada pengikut Instagram. Ada juga yang cuba mengurat. Saya akan mengabaikannya dan terus memadam mesej berkenaan. Bagi saya itu cara terbaik.

“Suami juga tidak mengendahkannya jika saya memberitahu tentang mesej-mesej berkenaan.

“Sebagai suami sudah tentu dia ada rasa cemburu, tetapi dia enggan melayan perasaan tersebut kerana bimbang akan mengganggu hubungan kami,” ulas Aprena.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI