SUNGAI PETANI – Kedegilan 21 individu bersiar-siar sempena cuti sambutan Hari Raya Aidiladha di tepi pantai Tanjung Dawai dekat sini pada semalam memakan diri apabila dikompaun RM4,000 seorang.
Kesemua mereka iaitu 13 lelaki dan lapan wanita berusia antara 16 hingga 49 tahun ditahan dalam Ops Covid-19 oleh sepasukan polis di sekitar kawasan tersebut antara pukul 6.40 petang hingga 10 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap beberapa buah kereta di kawasan itu serta orang awam yang sedang berkumpul dan melepak di tepi pantai.
“Hasil soal siasat awal mendapati mereka gagal memberikan alasan munasabah semasa ditahan selain gagal mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan rentas daerah tanpa kebenaran dan tiada penjarakan sosial.
“Malah mereka yang kesemuanya datang dari luar daerah ini mengaku bersiar-siar dan memberi alasan berada di tepi pantai itu bersama kawan sempena cuti sambutan hari raya,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929