SHAH ALAM – Sebanyak 14 juta dos vaksin sinovac akan dijual kepada mana-mana kerajaan negeri dan pihak swasta dalam mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, penjualan itu akan dilakukan syarikat Pharmaniaga dengan setiap permohonan akan dinilai dan diteliti Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bagi mengelakkan wujudnya monopoli mana-mana pihak terhadap vaksin tersebut.
“Pharmaniaga adalah syarikat di negara ini yang akan membotolkan dan mengimport bagi vaksin jenis sinovac.
“Ada negeri seperti Selangor telah meminta dijual terus kepada mereka namun JKJAV mempunyai jadual program sendiri sebelum ini dan sekarang baru dapat kebenaran bagi menjualnya.
“Permohonan boleh dilakukan daripada sekarang dan setakat ini kita telah menerima permohonan beberapa kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat dan hospital swasta,” katanya selepas sesi penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin Covid-19 sinovac daripada Pharmaniaga kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau bagaimanapun menegaskan harga bagi dos-dos vaksin tersebut akan ditentukan kemudian.
Ismail Sabri memberitahu, Pharmaniaga telah melengkapkan baki pemberian keseluruhan 12.4 juta vaksin sinovac pada hari ini yang sepatutnya diperoleh November nanti.
Ujarnya, kerajaan juga telah meluluskan bagi mendapatkan dua juta lagi dos yang telah ditandatangani pada 19 Julai lalu dan menjadi keseluruhan sebanyak 14.4 juta vaksin sinovac.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, berdasarkan 14.4 juta dos itu nanti dapat merangkumi 22.5 peratus penduduk Malaysia yang divaksinasi sinovac.
“Kami berterima kasih kepada Pharmaniaga kerana telah mempercepatkan penghantarannya yang seterusnya dapat meningkatkan vaksinasi kepada lebih 400,000 sehari,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929