fbpx

Tak bersesak, bergerak ikut kumpulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Perasaan gembira bercampur hiba dirasai 263 jemaah rakyat Malaysia yang terpilih antara 60,000 umat Islam yang dibenarkan menunaikan ibadah haji pada tahun ini dalam suasana dunia masih dilanda pandemik Covid-19.

Tidak seperti kelazimannya yang menyaksikan lautan jemaah haji membanjiri Arafah yang dikawal puluhan ribu petugas untuk membantu melancarkan urusan ibadah, suasana kali ini agak berbeza apabila pergerakan jemaah dihadkan dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

Berkongsi pengalaman menjelang hari wukuf di Arafah semalam, seorang jemaah haji Malaysia, Ahmad Najhan Hassim, 30, mengakui, mereka mula melakukan persiapan untuk ibadah wukuf sejak Subuh sebelum berkumpul di Arafah.

“Jemaah akan berada di Arafah bermula zuhur dan perlu keluar sebelum maghrib, jadi kami bersedia selepas subuh untuk elakkan pertembungan.

“Semua jemaah juga perlu mengikut jadual bagi mengelak bertembung. Malah, semalam ketika tawaf, kami hanya me­nunggu di dalam bas hingga arahan diberikan untuk keluar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ahmad yang bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi ber­kata, pergerakan jemaah haji juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“SOP rata-ratanya sama iaitu menjaga penjarakan sosial selain jemaah dikumpulkan dalam kumpulan kecil supaya mudah dikendalikan oleh wakil ketua.

“Had khemah juga ditetapkan untuk 12 orang sahaja dan kedudukan jemaah di dalam bas adalah dikawal dengan kapasiti tidak melebihi 23 orang,” jelas­nya.

Difahamkan, semua jemaah yang terpilih juga perlu melalui kawalan ketat polis sejak hari pertama menuju ke Masjidil Ha­ram dengan jemaah yang mempunyai permit sah sahaja dibenarkan untuk masuk ke kawasan berkenaan.

“Tidak ramai yang terpilih untuk berada di sini pada hari yang mulia. Kesempatan ini saya gunakan untuk memanjatkan segala doa agar Covid-19 ini diangkat oleh Allah dan kehidupan manusia kembali seperti biasa,” kata Ahmad.

Seorang lagi jemaah, Nazirah Jamaluddin, 59, berkata, bermula semalam, jemaah haji Malaysia di Tanah Suci telah bergerak mengikut kumpulan masing-masing menuju ke Arafah.

Katanya, pergerakan berkumpulan adalah mengikut ejen masing-masing yang telah dipilih oleh para jemaah semasa mene­rima tawaran untuk menunaikan ibadah haji.

“Pada malam semalam, ke­a­daan cuaca di Tanah Suci agak mendung, manakala pada hari kelmarin berlaku hujan renyai.

“Kami perlu sentiasa memakai pelitup muka kerana ia adalah SOP yang telah ditetapkan. Pelaksanaan ibadah haji kali ini memang sangat berbeza berbanding sebelum pandemik.

“Bagaimanapun, ia tetap selesa dan terkawal walaupun pergerakan tidak berapa bebas dan sentiasa dikawal rapi,” katanya.

Tambah Nazirah, Tasreeh iaitu permit perlu sentiasa ada dalam bentuk salinan atau dalam telefon pintar kerana akan diperiksa pada bila-bila masa dan jemaah haji disediakan dengan pengenalan diri digital.

Terdahulu, seramai 263 rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi dipilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini mengikut norma­ baharu selepas dunia masih bergelut untuk memben­dung penularan Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI