SUDAH menjadi kemestian bagi Nur Jamilah Mohd. Nor, 37, untuk menyertai ibadah korban setiap kali tiba Hari Raya Aidiladha.
Dia menyedari betapa besarnya ganjaran pahala melakukah ibadah itu dan pada masa sama berpeluang membantu mereka yang memerlukan.
Ibadah tersebut turut disertai oleh suami dan ahli keluarganya untuk berkongsi salah satu daripada tujuh bahagian lembu korban.
Akui wanita itu, dia berasa sangat seronok dapat berkongsi daging haiwan korban dengan mereka yang diuji kesusahan, bahkan ia dianggap sebagai makanan ‘kayangan’ yang hanya dinikmati golongan itu setahun sekali.
“Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu agak menyukarkan kami untuk menyertai ibadah korban seperti sebelum ini kerana perlu mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) termasuklah mengehadkan pergerakan, larangan rentas daerah dan negeri.
“Sehubungan itu, kami mula beralih kepada penyertaan ibadah korban di luar negara yang lebih mudah serta cepat dan kesemuanya diuruskan oleh syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga ia sampai ke tangan penerima,” tutur anak jati Kuala Lumpur itu kepada K2.
Tahun ini, Nur Jamilah menyertai ibadah korban yang dilangsungkan di Kemboja dan Palestin oleh satu syarikat pelaksana ibadah korban.
Sememangnya, ketika Malaysia sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, ibadah korban di dalam negara ini tidak dapat dijalankan seperti kelaziman dan banyak tempat tidak dibenarkan melakukannya atau dihadkan pelaksanaan ibadah itu.
Keadaan ini mendorong orang ramai memilih untuk menyertai ibadah korban dibuat di luar negara yang diusahakan pelbagai pihak pelaksana ibadah korban sama ada syarikat-syarikat perniagaan atau pertubuhan bukan kerajaan.
Biarpun bayaran untuk ibadah korban di luar negara terutamanya negara-negara Arab atau Asia Barat boleh dikatakan lebih tinggi berbanding korban dalam negara, namun ia tidak menghalang orang ramai menunaikan ibadah yang amat dituntut itu.
Eksekutif Projek Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Ustaz Muhamad Yusrizal Yushar memberitahu, ekoran pandemik Covid-19, penyertaan ibadah korban oleh rakyat Malaysia yang dibuat di luar negara boleh dikatakan meningkat sebanyak 70 peratus.
“Peningkatan jumlah tersebut dilihat sangat ketara bermula pada tahun lalu ekoran kesukaran orang ramai untuk melakukan ibadah korban di dalam negara kerana Covid-19.
“Kami pada awalnya menyasarkan 200 ekor kambing sahaja bagi tahun ini tetapi kerana penyertaan yang semakin meningkat, bilangan itu ditambah kepada 1,000 ekor,” katanya yang juga merupakan Pengarah Kempen Korban 4 Ummah bagi pertubuhan itu tahun ini.
Terangnya, haiwan-haiwan korban lain seperti lembu dan unta juga ditambah bilangannya bagi memenuhi penyertaan korban yang meningkat.
Muhamad Yusrizal berkata, pihaknya sebenarnya meletakkan sasaran yang rendah memandangkan ramai yang susah dan kehilangan kerja kerana pandemik tetapi tidak menyangka sambutan sangat memberangsangkan.
“Ia menunjukkan kemurahan hati masyarakat kita yang suka membantu dan menggembirakan orang lain walaupun diri sendiri ditimpa kesusahan kerana diuji pandemik ini.
“Bayangkan, ada satu penama mengambil seekor lembu dan unta untuk dikorbankan,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihaknya menganggarkan sebanyak 20,000 keluarga di luar negara akan menerima daging korban hasil daripada penyertaan 700 peserta pada tahun ini.
Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang telah melaksanakan projek korban sejak tahun 2018 itu memberi tumpuan kepada para pelarian Syria di kem-kem pelarian di Lebanon dan utara Syria.
“Projek ini tidak melibatkan penyertaan daripada pihak ketiga atau orang tengah kerana segalanya diuruskan staf kami di cawangan Syria dan Turki. Kami membeli haiwan-haiwan daripada baka terbaik dan diletakkan di kandang sendiri untuk dijaga dengan baik oleh staf yang bertugas di cawangan luar negara itu,” tuturnya.
Muhamad Yusrizal berkata, pihaknya membeli haiwan-haiwan tersebut dua atau tiga bulan lebih awal bagi mengelakkan harga melambung tinggi ketika menjelangnya Aidiladha.
Pada tahun ini juga, buat julung-julung kalinya, Pertubuhan Peduli Insan Malaysia membuka penyertaan korban di Gaza, Palestin dan besar hasrat mereka untuk memperluas misi tersebut ke negara-negara lain pada masa akan datang.
Di Syria misalnya, pihaknya menawarkan penyertaan korban sebanyak RM1,100 untuk seekor kambing dan RM1,250 bagi satu bahagian lembu serta unta.
Menyentuh mengenai harga ibadah korban yang lebih tinggi di luar negara berbanding di dalam negara, Muhamad Yusrizal menjelaskan ia berikutan beberapa faktor antaranya saiz haiwan di sana yang lebih besar serta baka haiwan terbaik.
“Di Malaysia, lembu yang dibuat korban biasanya mempunyai berat 180 kilogram (kg) hingga 230kg dengan harga seekor kira-kira RM4,500. Di Syria misalnya, lembu dibuat korban ialah dua kali ganda iaitu 450kg hingga 500kg dengan harga seekor RM8,750. Kalau berat sekitar 200kg itu masih kanak-kanak. Walaupun bayaran nampak besar, jika dibuat perhitungan menerusi pembahagian nilai harga dengan kuantiti atau beratnya, ternyata tidak mahal bahkan lebih murah, ditambah lagi keupayaan untuk memberikan manfaat kepada lebih ramai orang.
“Di Gaza pula lebih mahal lagi iaitu RM1,900 satu bahagian lembu kerana faktor-faktor lain seperti kejatuhan mata wang di sana dan keterhadan bilangan haiwan kerana negara perang,” terangnya.
Tambahnya lagi, kebanyakan individu yang menyertai ibadah korban luar negara pula berusia 35 tahun ke atas.
“Di usia 35 tahun, masing-masing sudah matang dan mempunyai ekonomi yang sudah stabil,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban Sdn. Bhd., Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, trend korban di luar negara dilihat memuncak sejak tahun lalu yang dipengaruhi pelbagai faktor seperti Covid-19 dan juga sistem pengurusan korban luar negara yang semakin baik.
“Berbanding sekitar tujuh tahun lalu memang agak sukar untuk mendapatkan penyertaan korban ke luar negara dan pada ketika juga masyarakat tidak mempunyai kesedaran mengenai perkara ini.
“Syukur dengan penyertaan yang semakin meningkat saban tahun, kami dapat memperluas pengagihan daging korban kepada penerima di 35 buah negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja,” ulasnya.
Selain itu, katanya agihan daging korban oleh pihaknya juga melibatkan penerima di kem-kem pelarian yang dihuni orang Islam seperti kem pelarian Rohingya, Somalia dan Afrika tengah.
EZ Qurban Sdn. Bhd. yang menawarkan perkhidmatan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah sejak tahun 2007 menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selama tiga tahun berturut-turut bagi kategori Penyertaan Ibadah Korban Terbanyak.
Setakat ini, seramai 28,711 orang menyertai ibadah korban kendaliannya meliputi tiga pakej utama dinamakan Korban Palestin, Korban Lokal dan Korban Global.
Menurutnya, orang ramai masih berpeluang untuk melaksanakan ibadah korban pakej Korban Global bersama pihaknya kerana ia hanya ditutup pada hari raya kedua nanti.