KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan tiga maut manakala seorang lagi lelaki parah selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung di Kampung Chicha Menyabong di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 malam itu, mangsa, Muhammad Adam Azman, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala apabila dia dipercayai tidak memakai topi keledar.
Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha LC, Muhammad Hamzi Akmal, 18, cedera parah pada bahagian kepala dan kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.
Ketua Polis Daerah Kora Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda C100B dan sedang dalam perjalanan dari Kampung Pulau Belanga di sini ke arah Wakaf Zin dekat Bachok.
Katanya, mangsa dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan laju, tidak memasang lampu selain tidak memakai topi keledar.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929