fbpx

Korban, dakwah kecil Aishah Azman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH AZMAN

DUA tahun lalu, nama Aishah Azman pernah menggemparkan dunia hiburan tanah air apabila membuat pendedahan tentang kisah putus tunang dengan jejaka yang juga pelakon berkaliber, Syafie Naswip.

Impiannya untuk mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun 2019 juga musnah, kononnya disebabkan onar orang ‘ketiga’ dalam perhubungan mereka.

Masa bergulir. Cerita lama enggan lagi diungkit dalam hidup si wanita muda berusia 25 tahun itu. Semua itu hanya satu bab dalam lipatan sejarahnya.

Bermula dengan episod duka tersebut, pemilik nama sebenar Nor Aishah Afika Azman Shah mula mengorak dan menyusun langkah untuk terus pandang ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.

Baginya, apa yang sudah berlaku biarlah berlalu dan fokusnya diberikan sepenuhnya kepada kerjaya seni dan juga perniagaan yang diusahakannya kini.

AISHAH mengakui hidupnya kini lebih tenang setelah mengambil keputusan untuk berubah imej dan menjalani kehidupan mengikut lunas agama.

Terdetik

Awal tahun ini, nama Aishah sekali lagi menjadi perhatian netizen gara-gara perubahan imejnya yang sudah bertudung dan menutup aurat.

Paling mengejutkan, Aishah turut bertindak memadam semua foto seksi miliknya dalam Instagram dan media sosialnya.

“Jujur saya katakan terdetiknya perasaan untuk bertudung dan mula menutup aurat ini sudah lama, sejak tahun lalu lagi.

“Saya terfikir sampai bila nak berterusan hidup begitu. Selalu rasa tak tenang dan macam ada sesuatu yang tak lengkap.

“Sehinggalah suatu hari, saya rasa teramat malu dengan diri sendiri dan tak selesa apabila sedang mengenakan mini skirt. Sejak itu, hari-hari saya berdoa agar Allah jentik dan buka pintu hati untuk berubah ke arah kebaikan,” ungkapnya membuka aksara kata kepada HibGlam.

Akui Aishah, Allah mula detikkan rasa takut kepadanya apabila dia menonton video-videa yang bercerita tentang seksa dalam kubur dan Padang Mahsyar.

Kata Aishah, bermula dari situ dia perlahan-lahan mendekatkan diri dengan menonton ceramah dan syarahan agama selain mula belajar membaca kitab suci al-Quran berserta terjemahan.

“Jujur saya katakan, lama-kelamaan hati terbuka dengan sendiri dan tanpa paksaan. Saya mula yakin untuk menutup aurat dengan memakai tudung.

ADIK kepada pelakon Afiq Muiz ini tidak mahu mengendahkan kritikan dan persendaan netizen setiap kali berkongsi tentang ilmu agama dalam media sosial.
– Foto KOLEKSI AISHAH AZMAN

“Perasaan saya ketika itu sukar nak digambarkan. Masya-Allah, Dia saja tahu apa yang saya rasakan. Perasaan bercampur-baur.

“Tenang, sayu, sebak, sedih, menyesal dengan kesilapan lampau dan bersyukur semuanya menjadi satu,” katanya.

Hari demi hari, pelakon drama Pengantin 100 Hari itu mula berasakan ketenangan yang ‘meresap’ dalam diri, dan seluruh kehidupannya.

Bukan hanya menutup aurat dan tampil bertudung di mata khalayak, Aishah dilihat turut suka berkongsi tentang ilmu agama dan hukum-hakam hingga menarik perhatian pengikut dalam laman maya.

“Niat saya bukanlah sampai nak digelarkan sebagai pendakwah mahupun ustazah, cuma apa yang saya rasa nak kongsikan, saya akan lakukan.

“Tak sangka pula perkongsian saya jadi perhatian ramai. Tak pernah terfikir akan jadi begitu. Saya pun masih banyak belajar untuk pastikan apa yang dikongsikan tepat dan sahih,” ujarnya.

Bercakap mengenai dugaan dan ujian yang diterima dalam usaha untuk kekal istiqamah di jalan Allah, Aishah mengakui tidak boleh lari daripada perkara tersebut.

“Kata-kata nista, kecaman dan hinaan itu biasa. Tetapi memikirkan sampai bila-bila pun kita tak mampu nak tutup mulut orang, waima jika kita buat baik sekali pun.

“Apa yang penting, Allah tahu niat saya. Itu sudah cukup. Saya percaya, Allah yang pegang hati manusia. Hati kita juga sentiasa akan berbolak-balik. Justeru, perlu untuk kita sentiasa dekatkan diri dengan-Nya,” kata Aishah.

Ditebak mengenai pandangan peribadinya berkenaan netizen yang sering beranggapan kebanyakan selebriti berhijrah sekadar trend dan ikut-ikutan, Aishah punya jawapan sendiri.

Baginya, setiap manusia mempunyai pendapat berbeza dan dia menghormati pandangan khalayak, asalkan tidak berlebihan dalam mengkritik.

MENGAKUI pendapatannya turut terjejas sepanjang pandemik, Aishah kini fokus terhadap perniagaan tudung miliknya, Jiwaaishah sebagai mata pencarian tambahan.

Jiwa

Tutup kisah penghijrahan dan dakwah kecil yang dilakukannya, topik perbualan teralih ke arah karier. Penampilan berhijab tentunya ada cabaran, pemilihan watak tidak lagi sembarangan dan Aishah tentunya menjadi lebih selektif.

“Ya sudah semestinya. Nak kata selektif sangat tidaklah, tetapi biarlah watak tersebut bersesuaian dengan diri dan personaliti saya sekarang. Watak seksi dan dedah aurat macam dahulu memang tidak boleh sama sekali.

“Ramai juga cakap dan beranggapan saya akan tinggalkan dunia lakonan selepas berhijrah. Dunia lakonan ni jiwa saya, tak semudah itu saya nak tinggalkan tanpa sebab.

“Sekiranya ditakdirkan rezeki saya dalam industri berterusan hingga ke hari tua, saya okey.

“Saya juga ada rancangan untuk lakukan perkara lain seperti kerja-kerja di belakang tabir dan sebagainya,” katanya.

Mengakhiri bicara, dia dengan rendah diri meminta dan memohon orang ramai terutama pengikutnya untuk mendoakan agar dirinya terus kekal istiqamah ke arah jalan yang diredai Allah.

DALAM soal hati, Aishah mengakui tidak serik untuk bercinta dan mengharapkan agar dipertemukan jodoh yang mampu menjadi pembimbing di dunia dan akhirat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI