PETALING JAYA – Meskipun sudah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin, penyanyi popular Datuk Nora Ariffin masih tetap mengikut saranan kerajaan untuk kekal berada di rumah.
Ujar Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 47, dia tetap dengan pendirian untuk berada di rumah kerana bimbang akan merisikokan keselamatan dan kesihatan orang lain terutama ahli keluarganya.
“Walaupun saya sudah lengkap menerima dua dos vaksin, itu bukan alasan untuk keluar kehulu kehilir sesuka hati. Kekal berada di rumah lebih baik.
“Kita masih belum selamat. Jangan sibuk suka hati sangat, menyesal tak guna lagi,” tulisnya dalam InstaStory.
Terdahulu, dalam hantaran Instagram terbaharunya semalam, dia juga mendedahkan pernah mempunyai perasaan was-was mengenai vaksin namun berubah kerana memikirkan nyawa orang lain.
“Alhamdulillah sudah dua dos. Pada awalnya sagak skeptikal juga tetapi setelah memahami, tiada isu untuk ragu-ragu demi menyelamatkan nyawa saya, anak-anak dan orang lain.
“Saya tekad dan sarankan semua segera ambil vaksin yang merupakan ikhtiar serta kita. Selebihnya teruskan berdoa dan tawakal kepada Allah SWT,” katanya lagi. – K! ONLINE