KLUANG – Pelajar-pelajar dari Kampung Melayu Bukit Nyamuk di Simpang Renggam, di sini tertekan gara-gara masalah internet yang teruk hingga mengganggu proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Kekangan itu memaksa mereka mencari alternatif dengan keluar dari rumah menuju ke mana-mana lokasi yang boleh mendapat capaian internet lebih baik.
Antara usaha yang dilakukan pelajar itu adalah memanjat pokok, duduk tepi jalan raya di depan rumah masing-masing, malah ada yang duduk beralaskan tikar di bawah jambatan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat kediaman mereka bagi mengikuti pembelajaran.
Penduduk mendakwa masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan pihaknya sudah mengadu kepada pihak berwajib termasuk wakil rakyat, namun hingga kini masih tiada penyelesaian.
Salah seorang penduduk, Roslan Mamat, 54, berkata, terdapat kira-kira 100 keluarga menetap di Kampung Melayu Bukit Nyamuk yang mengalami masalah capaian panggilan dan internet yang teruk.
“Situasi itu juga menyebabkan proses pembelajaran anak-anak di kampung itu tergendala, malah ada yang terpaksa memanjat pokok dan belajar di bawah jambatan di Lebuh Raya Utara-Selatan bagi mendapat liputan lebih baik.
“Setiap kali ada tugasan, mereka akan duduk di bawah payung dan kerusi di depan rumah untuk memuat naik atau menghantar mesej daripada aplikasi media sosial seperti WhatsApps atau panggilan video,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi.
Bagi seorang lagi, penduduk Hasnah Harun berkata, anak-anaknya terpaksa menunggu di depan jalan rumahnya untuk melakukan sesi PdPR.
“Hendak buat macam mana, internet memang teruk, kalau duduk dalam rumah memang tiada liputan internet, kena keluar baru okey.
“Kami ibu bapa harap masalah ini diberi perhatian,” rayunya. -K! ONLINE