LONDON – Arsenal terus menjadi antara pasukan yang aktif pada pasaran perpindahan kali ini apabila terus memburu beberapa lagi pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan itu.
Kali ini, skuad kendalian Mikel Arteta itu dikatakan bersedia untuk mendapatkan pemian pertahanan kanan Barcelona, Sergino Dest.
The Gunners dilaporkan terdesak untuk mendapatkan pemain di posisi berkenaan ekoran pemain mereka, Hector Bellerin mahu mencari angin baharu dengan menyertai pasukan lain musim depan.
Pasukan dari Serie A, Inter Milan menyatakan minat mereka terhadap Bellerin selepas kehilangan Achraf Hakimi yang berhijrah menyertai Paris Saint-Germain.
Arsenal sudah menyatakan minat terhadap Dest selepas musim lalu berakhir tetapi mereka mungkin perlu berdepan saingan Juventus dan Bayern Munich.
Bagaimanapun, Barcelona terdesak untuk menjual beberapa pemain mereka untuk mengimbangi struktur kewangan mereka dan Dest mungkin akan memberikan mereka wang sekitar £25.7 juta (RM149.12 juta) menerusi yuran perpindahan.
The Catalans mendapatkan khidmat Dest dari Ajax Amsterdam pada Oktober tahun lalu dengan nilai £23.8 juta (RM138.10 juta) dan sudah membuat 41 penampilan bersama Barcelona.
Setakat ini, Arsenal sudah berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain baharu seperti Nuno Tavarez, Ben White dan bakal mendapatkan pemain tengah Anderlecht, Sambil Lokonga dalam tempoh beberapa hari lagi. – AGENSI