MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Manchester United, Diogo Dalot pada jendela perpindahan kali ini.
Dalot kembali ke Old Trafford selepas menghabiskan tempoh pinjamannya bersama AC Milan musim lalu dan jurulatih baharu Real itu tertarik untuk membawanya ke Santiago Bernabeu.
Ancelotti dikatakan sudah berminat dengan gaya permainan Dalot semasa di Everton lagi dan sudah mencadangkan kepada pengurusan kelab itu untuk mendapatkan pemain berkenaan.
Biarpun Real ketika ini sudah memiliki pemain pertahanan kanan seperti Dani Carvajal dan Alvaro Odriozola tetapi mereka masih mahu cuba menjejaki Dalot.
Produk daripada Akademi FC Porto itu menyertai United pada 2018 tetapi berdepan kesukaran untuk menembusi kesebelasan utama menyebabkan dia dihantar ke San Siro untuk menjadi pemain pinjaman Milan musim lalu.
Secara keseluruhan, Dalot hanya membuat 35 penampilan bersama United setakat ini dan menjadi pilihan kedua di belakang Aaron Wan Bissaka.
Bagaimanapun, Real mungkin tidak berdepan laluan mudah untuk mendapatkan Dalot kerana United dikatakan mahu terus mengekalkannya bersama pasukan tersebut.
Seandainya United membuat keputusan untuk menjualnya sekali pun, mereka perlu berdepan tentangan sengit Milan yang turut mengintai peluang mendapatkan khidmatnya secara kekal. – AGENSI