PETALING JAYA – Sejak beberapa hari lalu, tular mengenai dakwaan orang awam menerima suntikan kosong sehingga mencetuskan kemarahan ramai.
Tidak terkecuali, pelakon cantik Ruhainies, 29, turut meluahkan rasa kecewa dan mahu pelaku iaitu petugas kesihatan terbabit diberkas dan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Geram pula baca berita mengenai beberapa orang yang menerima suntikan kosong. Kenapa mereka jahat sangat?
“Perkara itu dilakukan kepada orang tua, tak fikir ke mereka datang dari jauh kemudian diberi suntikan kosong. Kenapalah wujud manusia-manusia begini,” luah pelakon drama Cukup Derita Itu.
Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkenaan turut mempertikaikan bagaimana petugas terlibat dibenarkan bekerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV)
“Macam mana mereka boleh ‘lepas’ kerja di pusat vaksin itu? Anda semua tolong pantau ibu bapa, nenek atau atuk ya. Mereka sudah tua tetapi golongan itulah yang dianiaya.
“Mereka tiada rasa tanggungjawab langsung! Panas hati dan tolonglah tangkap mereka yang terlibat serta ambil tindakan,” luah adik kepada pelakon Nur Risteena itu.
Terdahulu kecoh dalam media sosial apabila beberapa orang awam membuat pendedahan mendakwa mereka menerima suntikan kosong daripada petugas di PPV. – K! ONLINE