DALAM kehidupan, ada ketikanya kita akan bertemu perihal yang dahulunya begitu dicintai, namun kini tidak lagi memberi makna sama seperti sebelumnya.
Sepertimana usia mencemburui, setiap orang akan berganjak kepada perkara yang lebih mustahak dalam kehidupan. Kalau sudah berkahwin, pasangan dan cahaya mata akan menjadi perkara terpenting.
Berkaitan kerjaya, kalau dahulu berstatus pekerja bawahan atau makan gaji, esok lusa mungkin kita mahukan sesuatu yang berjisim lain.
Buat pelakon yang suatu ketika dahulu sangat dijulang peminat, Syafiq Kyle, dia juga akur dengan naik turun populariti dalam mendepani kerjaya sebagai seorang anak seni.
Zaman ‘Syafiq’ dah berlalu?
Ditanya HibGlam tentang era ‘supremasi’ atau puncak populariti yang sepertinya sudah berlalu, Syafiq atau nama lengkapnya, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak tidak menafikan perkara tersebut.
Dalam sisi yang lain, dia bagaimanapun yakin peminat lebih tahu di mana keberadaan sebenarnya dalam industri sekarang.
“Saya gembira dan sebenarnya, dari dulu sampai sekarang, saya rasa saya ‘biasa’ sahaja.
“Popular atau tidak popular, naik atau turun, saya tetap buat kerja yang sama iaitu berlakon. Saya juga percaya, terpulang kepada peminat untuk fikir zaman saya sudah jatuh atau bagaimana,” katanya.
Syafiq yang merupakan lulusan dalam Diploma Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu juga menyedari tentang kehadiran pendatang dunia lakonan ketika ini.
“Pendatang baharu ramai. Saya juga pernah berada pada tempat mereka. Saya tengok ramai yang berkualiti sekarang dan itu satu perkembangan yang sihat untuk industri.
“Lebih ramai, lebih bagus tapi harap datang bersama dengan kualiti. Saya sendiri jadikan orang lama atau orang baharu sebagai referensi dalam lakonan,” kata Syafiq, 29.
Ditebak pertanyaan tentang popularitinya yang semakin merundum, jelas Syafiq, dia tidak pernah meletakkan populariti sebagai tanda aras kejayaan dalam bidang lakonan.
“Populariti atau ‘fame’ adalah bonus buat saya. Saya tak kisah pendapat orang tentang naik turun saya dalam industri.
“Bagi saya, selagi ada peluang dan kudrat untuk berlakon, saya akan gunakan sehabis baik. Rezeki ada di mana-mana dan selagi diberi kepercayaan, saya akan bawa kepercayaan untuk mencipta kejayaan,” ujarnya.
Kualiti lakonan
Ujar Syafiq lagi, apa yang menjadi keutamaan dirinya sekarang adalah kualiti dalam setiap karya yang dikerjakan.
“Sebenarnya, popular atau tidak, bukanlah apa yang saya fikirkan sekarang. Saya nak berkarya dan saya mahu berikan yang terbaik kepada para peminat.
“Populariti akan datang dan pergi tetapi karya yang baik akan diingati sampai bila-bila. Insya-Allah,” katanya.
Diajak berbicara tentang kesan pandemik terhadap periuk nasi anak seni, Syafiq percaya penjagaan kesihatan mental merupakan perkara yang amat penting, terutama ketika krisis pandemik Covid-19.
Katanya, seperti orang lain, dia juga perlu mengutamakan perihal kesihatan mental untuk mengelakkan daripada terlalu memikirkan tekanan, terutama melibatkan desakan kewangan.
“Saya kena jaga otak saya sama juga macam orang lain. Makan cukup atau tidak cukup, itu saya percaya kepada rezeki Allah. Semua orang ada rezeki masing-masing.
“Nasihat saya, yang paling utama adalah penjagaan kesihatan mental. Dari situlah baru kita dapat rancang apa yang kita nak buat dalam hidup seperti kewangan dan sebagainya pada waktu pandemik sekarang,” ujarnya.
Jangan pandang enteng
Syafiq berkata demikian pada sidang sesi temu bual secara maya bersama media drama terbaharu lakonannya, Suara Hati baru-baru ini.
Kata Syafiq lagi, masalah kesihatan mental seperti kemurungan bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng.
“Bagi saya, kalau mental seseorang itu tidak kuat, bila-bila masa sahaja seseorang itu boleh rasa dirinya susah, boleh toreh tangan atau bertindak menggantung diri.
“Kemurungan bukan benda main-main, bukan pasal turun naik iman dan bukan tentang agama apa yang kita anuti. Disebabkan itu, adalah penting untuk kita sentiasa pupuk kesedaran tentang hal ini.
“Nak buat benda lain dalam hidup dengan jayanya, jagalah kesihatan mental terlebih dahulu. Pada masa sama, dekatkan diri dengan Allah. Dia tak kejam, Dia akan tolong sesiapa sahaja yang tak berhenti berdoa,” katanya.
Selain Syafiq, Suara Hati arahan sutradara, Emy Suffian turut dibintangi Hanna Aqeela dan Aidil Aziz.