KLANG – Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Selangor menyebabkan petugas di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini tidak menang tangan dalam menguruskan pengebumian.
Seorang petugas, Ahmad Nordin, 50, berkata, sebelum ini secara purata seminggu dianggarkan enam mayat dikebumikan di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, jumlah harian didapati meningkatkan hingga mencecah purata tujuh jenazah Covid-19.
“Peningkatan memang ketara sejak 5 Julai lalu dan saya bersama empat rakan lain cuba menyelesaikannya tugas pengebumian secepat mungkin.
“Kebiasannya bagi pengebumian satu jenazah diuruskan dalam tempoh 15 minit,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Hasil tinjauan Kosmo! selama dua jam bermula pukul 12 tengah hari tadi mendapati, dua jenazah Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah ( HTAR ) di sini telah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut.
Ahmad yang telah bertugas selama setahun di tanah perkuburan itu memaklumkan jenazah Covid-19 akan tiba bermula pukul 10 pagi dan proses berterusan sehingga pukul 6 petang.
Ujarnya, kerja-kerja mengorek liang lahad menggunakan jengkaut bagi mempercepatkan urusan pengebumian itu. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929