fbpx

Perwira negara meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Dr. Leong Chee Woh meninggal dunia semalam.

PETALING JAYA – Bekas ketua Pasukan Rahsia Cawangan Khas (Pasukan E3F) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab membanteras pemberontakan pengganas komunis dalam negara, Datuk Dr. Leong Chee Woh meninggal dunia semalam.

PDRM menerusi satu kenyataan memaklumkan tentang pemergian mendiang petang semalam akibat strok pada usia 92 tahun di kediaman beliau di Seri Kembangan, Selangor serta mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang.

“Mendiang merupakan penerima anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani (P.G.B.) yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke XV, Sultan Muhammad V pada 9 September 2017.

“Anak jati kelahiran Taiping, Perak itu memasuki perkhidmatan PDRM pada 1 Disember 1950 dan jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Pengarah (Operasi), Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mendiang telah dilantik mengetuai Pasukan Rahsia Cawangan Khas PDRM iaitu Pasukan E3F atau ‘Pasukan F’ dalam misi membanteras pengganas komunis ketika kebangkitan kedua Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968 hingga 1989 di Semenanjung Malaysia.

“Pasukan F telah berjaya membunuh seramai 48 orang pengganas PKM dan menahan seramai 171 orang lagi bersama 1,432 orang tali barut.

“Kejayaan Pasukan F melumpuhkan pemberontakkan pengganas PKM di Tanah Malaya turut menjadi faktor utama termeterainya Perjanjian Hatyai 1989 sehingga membawa kepada pembubaran PKM,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta seluruh warga PDRM turut menzahirkan ucapan salam takziah kepada keluarga mendiang.

“Selamat berehat buat selama-lamanya, Perwira Negaraku,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI