PETALING JAYA – Marah dan kecewa. Mungkin itu yang dirasai pelakon popular Rozita Che Wan apabila melihat ramai yang masih berdegil pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.
Kemarahan tersebut diluahkan dalam aktres berusia 48 tahun itu dalam ruangan komen beberapa hantaran Instagram Kosmo! Online.
Dalam komen tersebut, selebriti yang mesra dibahasakan Che Ta itu mempersoalkan mengapa masih terdapat segelintir orang ramai yang berdegil untuk berhari raya meskipun kes jangkitan Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.
Malah, menerusi komennya, pemilik nama lengkap Rozita Abu Bakar itu turut bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa tidak membenarkan orang ramai menggunakan dokumen kebenaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk merentas negeri.
“Sesuai! Kenapa gatal sangat nak merentas negeri? Kalau kes naik nanti salahkan kerajaan!
“Anda semua melalak nak balik beraya kenapa? Macam meninggal dunia pula kalau raya di rumah masing-masing,” tulisnya geram.
Tambahnya, dia juga memohon pihak berkuasa mengeluarkan arahan agar mereka yang terlepas berpatah balik.
“Tolonglah suruh mereka patah balik. Baru sesuai muka mereka yang bergasak nak balik ke kampung sangat!” ujarnya lagi.
Pada 18 Julai lalu, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.
Menurutnya, dokumen kebenaran MITI untuk merentas negeri tidak dibenarkan bagi mengelak dimanipulasi untuk tujuan pulang beraya bermula 18 hingga 21 Julai ini. – K! ONLINE