COPENHAGEN – Kartunis Denmark, Kurt Westergaard yang mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana melukis karikatur Nabi Muhammad, meninggal dunia pada usia 86 tahun, kata keluarganya kepada media Denmark semalam.
Westergaard meninggal dunia semasa tidur selepas lama jatuh sakit, keluarganya memberitahu akhbar Berlingske.
Ilustrator tersebut bertanggunjawab terhadap 12 gambar yang diterbitkan akhbar harian konservatif, Jyllands-Posten di bawah tajuk ‘Wajah Mohammed’. Karikatur itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Kartun biadab itu pada awalnya hampir tidak diketahui umat Islam tetapi setelah dua minggu bantahan diadakan di Copenhagen, duta-duta negara Muslim membuat bantahan kepada Denmark.
Kemarahan kemudian merebak menjadi bantahan ganas anti-Denmark di seluruh dunia Islam pada Februari 2006.
Keganasan berkaitan kartun itu memuncak dengan pembunuhan beramai-ramai pada tahun 2015 melibatkan 12 pekerja majalah mingguan satira, Charlie Hebdo di Paris.
Westergaard bekerja dengan Jyllands-Posten sejak pertengahan tahun 1980-an sebagai ilustrator dan menurut Berlingske, gambar yang dimaksudkan sebenarnya pernah dicetak sebelum itu tetapi tanpa mencetuskan banyak kontroversi.
Westergaard seperti sebilangan individu lain yang dikaitkan dengan kartun tersebut hidup di bawah perlindungan polis di alamat rahsia termasuk pada tahun-tahun terakhirnya.
Pada awal 2010, polis Denmark menangkap seorang warga Somalia berusia 28 tahun yang bersenjatakan pisau di rumah Westergaard di mana dia merancang untuk membunuhnya. – Agensi