PETALING JAYA – Pelawak dan penyanyi Achey Bocey selesai menjalani pembedahan pada tangan kirinya selepas terjatuh dari motosikal semasa mengutip durian di kebunnya, pagi semalam.
Kejadian menimpa Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 35, dikongsikan isterinya menerusi Instagram dengan memuat naik beberapa video.
“Jatuh ‘bodoh’ je pun. Tengah cari durian nak meniaga kononnya. Tak apalah, nanti belilah durian saya. Kawan saya tolong bantu jual, terpaksa,” kata Achey dalam sebuah video dimuat naik isterinya semalam.
Insiden yang berlaku menyebabkan tangan kirinya patah, manakala tulang pada tangan kanannya turut retak.
“Semalam sebaik tiba di hospital, saya diminta berpuasa sebelum menjalani pembedahan. Kemudian saya hanya sedarkan diri selepas pukul tiga pagi tadi.
“Tangan kiri sudah dibedah sebab patah. Sementara tangan kanan pula retak. Agak teruk juga retak yang dialami tetapi telah disimen,” kata Achey ketika muncul dalam siaran langsung menerusi Instagramnya sebentar tadi.
Tambah Achey, kejadian yang menimpanya berlaku sewaktu dia sedang mencari durian untuk dijual di sekitar kawasan Segamat, Johor.
“Kejadian berlaku semasa saya keluar mencari durian di dusun. Kemudian motosikal hilang kawalan ketika di lereng bukit sebelum terbabas dan masuk ke dalam parit,” katanya.
Meskipun terlantar di hospital, namun Achey tetap ceria dan aktif menggerakkan kedua-dua belah tangannya seperti biasa.
“Ujian makna Allah sayang kita semua. Jalan terus selagi ada kudrat,” tulisnya dalam sebuah video dimuat naik beberapa jam lalu. – K! ONLINE