PUTRAJAYA – Kemasukan kes-kes jangkitan serius melibatkan kategori empat dan lima dalam kalangan warga emas bermula Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 menunjukkan penurunan ketara berdasarkan data terkini sehingga semalam oleh Hospital Sungai Buloh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, trend penurunan itu didapati selaras dengan permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa Kedua yang dimulakan seawal April dan mula menunjukkan tanda-tanda awal keberkesanannya sejak ME ke-22.
Menurutnya, dalam masa sama bermula kelmarin, semua warga emas (iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas) yang masih belum mendapatkan janji temu agar hadir secara terus atau ‘walk in’ di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuala Lumpur dan Selangor, bagi mendapatkan suntikan vaksin pada hari sama.
“PPV juga akan terus beroperasi pada setiap hujung minggu termasuk cuti umum. Tindakan-tindakan ini selaras dengan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membina imuniti kelompok dalam kadar yang segera.
“Justeru, rakyat dinasihatkan untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan serta sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang proses pengambilan vaksin di PPV,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Berhubung kadar kebolehjangkitan semalam, beliau berkata, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.15 dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu (nilai RT 1.27).
Katanya, negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah, Putrajaya (nilai RT 1.26), Kedah (nilai RT 1.24), Sabah (nilai RT 1.21), Selangor (nilai RT 1.17), Pulau Pinang (nilai RT 1.16), Pahang (nilai RT 1.16), Negeri Sembilan (nilai RT 1.15), Kuala Lumpur (nilai RT 1.15), Melaka (nilai RT 1.12), Perak (nilai RT 1.12), Johor (nilai RT 1.12) dan Kelantan (nilai RT 1.10). – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929