fbpx

Indonesia pusat wabak Covid-19 di Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja berjalan melewati tapak pengebumian mangsa koronavirus Covid-19 di tanah perkuburan Keputih di Surabaya, Jawa Timur. - AFP

JAKARTA – Kerajaan Indonesia telah mengambil inisiatif memberikan suntikan penggalak kepada petugas barisan hadapan selepas kehilangan 500 doktor sejak permulaan pandemik Covi-19, lapor akhbar Arab News, semalam.

Menurut Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin, program suntikan penggalak itu telah dimulai dengan lebih 50 profesor perubatan di kampus kesihatan Universiti Indonesia.

“Petugas barisan hadapan sudah menerima dua suntikan penuh Sinovac dan kini akan diberikan dos penggalak dari Moderna.

“Mereka yakin dan teruja untuk menerima dos penggalak dalam usaha meningkatkan imuniti badan ketika merawat pesakit Covid-19 yang semakin meningkat baru-baru ini,” kata Budi.

Indonesia telah kehilangan 491 doktor sejak bulan Mac tahun lalu, menurut data daripada pasukan pengurangan bencana Persatuan Perubatan Indonesia.

Setakat kelmarin, republik yang memiliki populasi 270.2 juta orang itu mencatatkan 51,952 kes baharu dan 1,092 kematian.

Indonesia kini telah menggantikan India sebagai pusat baharu penyebaran wabak Covid-19 di rantau Asia.

Menteri Penyelaras Hal-Ehwal dan Pelaburan Maritim, Luhut Pandjaitan, yang mengetuai perintah darurat di  Jawa-Bali mengatakan jumlahnya akan terus meningkat dan bahawa pemerintah telah bersiap sedia untuk senario terburuk iaitu kes mencecah 60,000 kes sehari. 

“Kami sedang menilai adakah kita perlu memperpanjang sekatan darurat yang sepatutnya berakhir esok (Selasa),” kata Pandjaitan dalam satu sidang media.

Minggu lalu, Indonesia mengubah rejim pemberian vaksinnya apabila menangguhkan penjualan vaksin selepas dikritik Pertubuhan Kesihatan Dunia yang menyelar cubaan mengaut untung daripada bekalan vaksin sedia ada.

Setiausaha Kabinet, Pramono Anung mengatakan bahawa Presiden Joko Widodo telah mengambil keputusan untuk membatalkan skim penjualan vaksin Sinpoharm dengan harga $60 (RM252) bagi dua dos lengkap yang sepatutnya dilancarkan oleh firma farmasi tempatan, PT Kimia Farma pada 12 Julai.

“Selepas mengambil kira pandangan semua pihak, presiden dengan tegas memerintahkan pembatalan program vaksinasi bayar sendiri,” kata Anung dalam sebuah pernyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI