TELUK INTAN – Taktik dua lelaki menggunakan surat kebenaran palsu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyeludup 475 kilogram (kg) dun ketum gagal apabila ditahan di lampu isyarat Batu 5, Jalan Teluk Intan-Sabak Bernam di sini semalam.
Pemandu lori berusia 48 tahun dan kelindan berusia 47 tahun itu ditahan anggota Unit Risikan Pasukan Polis Marin Kampung Acheh pada pukul 1.45 pagi.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Superintenden Shoppri Saad berkata, tangkapan itu susulan maklumat dan risikan yang dilakukan selama sebulan.
Katanya, lori untuk kegunaan logistik dinaiki mereka ditahan ketika berhenti di lampu isyarat.
“Pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai 95 bungkusan plastik hitam berisi 475 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai RM28,500 di bahagian belakang kenderaan.
“Suspek turut mengemukakan surat kebenaran MITI bagi merentas negeri namun semakan mendapati ia adalah surat kebenaran palsu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati, bekalan daun ketum itu diperoleh dari Seberang Perak untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
Katanya, daun ketum dipercayai mendapat permintaan tinggi di Lembah Klang menyebabkan suspek mengambil peluang menyeludupnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengaut keuntungan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929