fbpx

Dua diberkas hantar dadah bernilai RM108,000 guna kurier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Majid (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dipercayai dibawa masuk ke Melaka menggunakan khidmat kurier.

MELAKA – Taktik dua lelaki menggunakan khidmat kurier bagi menjalankan kegiatan pengedaran dadah berjaya dihidu polis apabila mereka diberkas dan dadah bernilai RM108,000 dirampas.

Suspek berusia 46 dan 36 tahun yang masing-masing bekerja sebagai buruh serta tukang gunting rambut itu ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, bertindak atas maklumat, suspek pertama berusia 46 tahun ditahan kira-kira pukul 3 petang dalam satu serbuan di sebuah rumah di Durian Daun Alor Gajah pada 15 Julai lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di premis menjumpai 16 peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 7.25 kilogram dengan anggaran nilai RM80,000.

“Polis turut menjumpai satu peket plastik disyaki berisi syabu seberat 200 gram bernilai RM28,000.

“Hasil tangkapan itu, kita berjaya mengesan seorang lagi suspek dan tangkapan dilakukan keesokkannya pada pukul 9.30 di Pandan Indah Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ujarnya, hasil risikan, jumlah rampasan dadah yang mampu menampung keperluan seramai 24,166 penagih itu dipercayai dibawa masuk ke Melaka menggunakan khidmat kurier untuk pasaran tempatan.

“Disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada waktu pandemik ini, suspek turut menukar taktik dengan menghantar bekalan dadah ke negeri ini menggunakan khidmat kurier.

“Kegiatan ini dipercayai telah dijalankan suspek selama sebulan,” katanya.

Tambahnya, dalam tangkapan tersebut, polis turut menyita kereta, wang tunai dan barang kemas dengan nilai keseluruhan RM84,650.

Abdul Majid berkata, semakan lanjut mendapati suspek masing-masing mempunyai 12 serta enam rekod lampau berkaitan dadah dan saringan ujian kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis opiat.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI