fbpx

‘Ayah nampak lain, sempat toleh rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bapa mangsa, Said Saip, 68, kelihatan sedih bersama tiga orang cucunya, Muhammad Saiful Azam, Nor Shahzliana, dan Thaqif Aidil, ketika ditemui hari ini. /FOTO MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON – “Ayah nampak lain sebelum bergerak ke tempat kerja, dia sempat menoleh dan memandang rumah,” demikian cerita Muhammad Shaiful Azam Sharul Nizwan, 13.

Menurutnya, suara bapa juga agak perlahan sebelum ke tempat kerja di Jimah Energy Ventures (JEV) Sdn. Bhd, Chuah dekat sini.

“Ayah tidak seperti biasa, sebelum dia ke tempat kerja menunggang motosikal, dia sempat merenung ke arah rumah.

“Suara ayah agak perlahan petang semalam (kelmarin), tapi dia tidak pesan apa-apa kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Shaiful Azam adalah anak sulung kepada Sharul Nizwan Said, 33, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut bersama lori lima tan yang dipandunya kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

Mangsa ketika itu dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan sisa arang batu di Jeti Coal Unloading Edra Energy Jimah Power Plant, JEV Sdn. Bhd., Chuah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, menurut saksi, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja mengangkut arang batu yang terjatuh di atas lantai jeti di jeti nombor lima.

“Saksi hanya mendengar bunyi dentuman kuat dan telah bergegas ke tepi jeti tersebut sebelum mendapati lori yang dipandu telah terbabas ke dalam laut.

“Saksi telah cuba membuang ‘buoyant’ ke permukaan, namun tidak berjaya dan terus menghubungi Balai Polis Bukit Pelandok untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Setakat pukul 5 petang tadi, operasi mencari dan menyelamat mangsa terus dilakukan oleh anggota pelbagai agensi. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI