Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
JAGUH berbasikal trek negara, Mohammad Azizulhasni Awang menerima suntikan moral terbaik menjelang Sukan Olimpik 2020 tidak lama lagi apabila dianugerahi Darjah Kebesaran Negeri Terengganu semalam.
Azizulhasni berkata, anugerah itu di luar jangkaannya sambil menyifatkan ia satu pengiktirafan tertinggi kepadanya sebelum membawa cabaran negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo, Jepun.
“Menjunjung kasih Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kerajaan negeri (Terengganu) dan semua orang kuat yang teguh berada di belakang sejak awal pembabitan karier saya.
“Secara jujur, pada awalnya saya menyangka berita ini hanya gurauan, namun disahkan (Pejabat Sultan Terengganu), ia sudah tentunya melonjakkan lagi semangat saya untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik minggu depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Isa @Ghazali Endut berkata, Sultan Mizan berkenan menganugerahkan The Pocket Rocketman Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk bersama sembilan lagi individu yang lain.
“Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran tersebut akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.