fbpx

5 individu bergaduh tepi jalan didenda RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Ashikin (tengah) mengaku tidak bersalah manakala dua rakannya, Siti Munirah (kiri) dan Siti Nor Farah Shazlina mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan seorang lelaki Selasa lalu. - Foto : ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Enam individu termasuk tiga wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki dalam pergaduhan di tepi Jalan Pasir Tumboh pada Selasa lalu.

Lima tertuduh iaitu Mohd. Fakhrudin Mat Zain, 47, Samsuddin Mohamad Sidik (45), Muhammad Syahrul Fahmi Abdullah (24), Siti Nor Farah Shazlina Supian (33) dan Siti Munirah Rizan (22) mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Nur Ashikin Rozaini 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dengan sengaja telah melakukan kesalahan merusuh di tempat awam hingga menyebabkan seorang lelaki, Mohamad Hamdi Hanafi, 30, mengalami kecederaan luka pada bahagian muka, leher, bibir, belakang badan, siku kanan dan lutut kanan.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di Jalan Pasir Tumboh di sini kira-kira pukul 5 petang pada 13 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Ramli manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Samhana Aidenan.

Terdahulu, lima daripada tertuduh mengakui fakta kes kejadian yang dibacakan oleh jurubahasa semasa prosiding dijalankan, namun salah seorang tertuduh, Nur Ashikin tidak mengakui fakta tersebut.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM4,000 kepada lima tertuduh yang mengakui fakta kes manakala Nur Ashikin dibenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen bagi kes dihadapi Nur Ashikin yang bekerja sebagai pembantu kedai.

Kesemua tertuduh membayar denda dan jaminan yang ditetapkan mahkamah. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI