PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan hampir RM15.9 juta tahun ini bagi meneruskan komitmennya memperkasa komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporat di bidang pendidikan.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu merangkumi penajaan kemudahan pembelajaran online, kelengkapan asas persekolahan murid dan aktiviti seperti bengkel, tuisyen serta persiapan peperiksaan.
“Sejak 2013 lagi kami telah menaja dan melaksanakan pelbagai program di peringkat sekolah bagi memupuk generasi masa depan dan meringankan beban keluarga B40 terutama di kawasan luar bandar.
“Bermula dengan Program Sekolah PINTAR yang diinspirasikan Khazanah Nasional, kami telah dapat mengasah pencapaian akademik, bakat dan kecemerlangan menyeluruh lebih 4,088 pelajar di sekolah terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sebanyak 11 buah sekolah luar bandar di seluruh negara juga terpilih untuk program sama pada tahun ini dengan bantuan RM315,000 untuk aktiviti seperti kem motivasi, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaan.
“Tajaan kami memberi peluang kepada murid-murid ini meningkat keperibadian dan prestasi akademik mereka.
“Bagi tempoh 2021 hingga 2023, aktiviti-aktiviti yang dijalankan di kesemua 11 sekolah angkat PINTAR ini akan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM945,000,” jelasnya.
Selain itu katanya, TNB juga membelanjakan RM32 juta selama lima tahun atau RM6.4 juta setahun bagi program transformasi pendidikan di lapan buah sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan.
Katanya, usaha sama TNB dan Kementerian Pendidikan serta Yayasan Amir di bawah Khazanah Nasional ini memberi manfaat kepada 6,991 pelajar di sekolah-sekolah pinggir bandar. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929