JEMPOL: Tiada keperluan untuk menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pada masa ini meskipun terdapat peningkatan kes jangkitan di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, PKRC sedia ada di seluruh negara di lihat masih mencukupi bagi menampung bilangan pesakit Covid-19.
“Jika ada keperluan kita akan akan tambah PKRC, bagaimanapun sehingga kini, ia masih terkawal dan tiada keperluan untuk menambah. Kita hantar pesakit ke pusat kuarantin bagi mendisiplinkan diri dan sekiranya mereka tinggal di rumah agak longgar.
“Setakat ini, lebih 200,000 pesakit Covid-19 yang berada di 484 stesen kuarantin dan 86 PKRC di seluruh negara. Sekiranya ada peningkatan angka dan kes bertambah tentu kita akan membuat pertimbangan untuk menambah atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Sumbangan Kasih Bakul Prihatin Sempena Hari Raya Aidiladha di Balai Raya Felda Palong 4, dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Redzuan memaklumkan, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM1.7 juta menerusi program Bakul Prihatin Negara 2021.
“Ada sebilangan kecil menolak bantuan berkenaan malah kami juga ada menerima maklum balas ada yang mahukan lampin pakai buang dan barang basah. Kami akan semak melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di daerah masing-masing-masing supaya boleh di tambah baik bantuan berkenaan,” katanya lagi.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929