KUALA LANGAT – Jika dahulu kepercayaan terhadap vaksinasi rendah namun berlainan apabila masyarakat orang Asli perlunya perlindungan diri dalam menentang Covid-19.
Begitu kesedaran ditunjukkan 400 penduduk kampung Orang Asli Suku Temuan Bukit Tadom di sini apabila menerima vaksin jenis Pfizer hari ini.
Seorang warga emas Orang Asli, Bobot Bujang, 80, berkata, setiap penyakit pasti ada ubatnya dan dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapat vaksin tersebut.
“Kalau nenek tidak percaya nenek tidak datang. Sudah lama nenek tunggu untuk disuntik vaksin.
“Nenek ngeri tengok kes beribu-ribu dan ramai yang sudah meninggal dunia. Nasihat nenek kepada orang muda, ambil vaksin untuk lindung nyawa,” katanya selepas mengambil vaksinasi hari ini.
Program Pemberian Vaksin di Kampung Orang Asli Bukit Tadom hari ini dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah.
Seorang suri rumah, Jemah Anak Bencah,51, memberitahu, pengambilan vaksin oleh ramai individu termasuk Tok Batin menunjukkan vaksinasi itu penting demi keselamatan diri.
“Mungkin banyak sangat mitos sebelum ini namun kini semua percaya kesihatan perlu dijaga ketika pandemik dengan pengambilan vaksin,” jelasnya.
Sementara itu, Tok Batin, Hadi Anak Jembik menegaskan sebagai ketua dia terlebih dahulu mengambil vaksin beberapa bulan lalu bagi memberi keyakinan kepada 400 anak buahnya untuk turut mengikut jejaknya.
“Tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan anak buah saya.
“Saya kena menunjukkan contoh kepada anak buah supaya mereka percaya vaksin ini adalah ubat terbaik untuk melindung diri daripada Covid-19,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929