ROM – Pemain pertahanan AS Roma, Chris Smalling mengakui, dia tidak menyimpan dendam terhadap jurulatih baharu, Jose Mourinho meskipun mereka memiliki hubungan kurang baik sebelum ini.
Pengendali dari Portugal itu kembali ke kancah Serie A selepas berkelana dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan membimbing Chelsea, Manchester United dan Tottenham Hotspur.
Sebelum ini, hubungan kedua-dua individu itu retak semasa berada di United apabila Mourinho mempersoalkan kemahuan Smalling selepas dia tidak sanggup beraksi dalam keadaan sakit.
Bagaimanapun, Smalling menjelaskan, dia tidak ada sebarang masalah untuk kembali bekerjasama dengan Mourinho selain melabelkan beliau sebagai seorang jurulatih yang mementingkan kerja keras.
“Beliau dilahirkan sebagai seorang pemenang dan akan cuba memastikan setiap pemain memberikan 100 peratus. Anda semua boleh lihat pencapaiannya selama ini dan itulah apa yang beliau mampu lakukan.
“Apabila jurulatih meminta anda bermain dan sering diajak berbual, itu bermakna anda adalah pemain penting buat pasukan. Apabila beliau diam, itu sangat bahaya kerana ia adalah petanda anda tidak dipedulikan lagi,” kata Smalling.
Dalam pada itu, bekas pemain antarabangsa England itu menjelaskan, semua pemain sangat gembira dengan pelantikan Mourinho sebagai jurulatih baharu Roma kerana memiliki rekod yang sangat baik dalam saingan Serie A. – AGENSI