fbpx

Shiha Zikir dapat pengiktirafan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHIHA ZIKIR menang Best of Asian - Pop dalam acara InterContinental Music Awards (ICMA) 2021.

PETALING JAYA – Tidak sangka mampu mengharumkan nama Malaysia, Shiha Zikir bersyukur apabila diumumkan sebagai penerima trofi Best of Asian – Pop dalam acara InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 kelolaan agensi berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir mengakui pengiktirafan itu bukan hanya untuk diri sendiri, malah keseluruhan pasukannya yang merealisasikan dendangan seindah AEWO hingga dipilih sebagai pemenang.

“Saya pun dimaklumkan mengenai kemenangan ini semalam. Perasaan bercampur baur antara terkejut, terharu dan gembira kerana baharu minggu lalu label beritahu AEWO masuk ke peringkat akhir.

“Sebagai finalis pun saya sudah bersyukur, apatah lagi dapat meraih kemenangan dan mengenepikan beberapa calon akhir dari negara Asia lain yang juga berpotensi besar.

“Apabila memasuki mana-mana pertandingan di luar, saya cuma buat yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, sekali gus mencipta memori manis sebagai kenangan.

“Sudah tentu saya terharu dapat membanggakan negara, syarikat rakaman, peminat serta mereka yang menghasilkan lagu ini hingga diiktiraf terbaik di Asia,” katanya kepada Kosmo! Online.

ICMA yang dimulakan sejak 2011 adalah acara pengiktirafan yang dibuka kepada bakat muzik dari pelbagai benua termasuk Asia, Afrika, Eropah hingga Amerika Selatan dan Utara.

Penganjurannya juga dinantikan penggiat seni muzik global kerana memartabatkan keunikan, kepelbagaian dan perpaduan muzik di seluruh dunia.

Menurut maklumat daripada laman sosial rasmi ICMA, pemenang bagi setiap kategori pertandingan bakal menerima biasiswa yang akan dimaklumkan sedikit masa nanti.

Manakala dari segi kaedah penjurian dan pemilihan pemenang, setiap penyertaan dinilai oleh barisan panel profesional dalam industri muzik.

Sementara itu, penyanyi berusia 33 tahun yang turut menempa nama di Indonesia berterima kasih apabila AEWO masih diputarkan di stesen radio negara jiran walaupun sudah setahun diterbitkan.

Dicipta sepenuhnya oleh Ezra Kong yang menampilkan Noki K-Clique, dedah Shiha keunikan melodi dan santunan lirik AEWO antara faktor membuatkan nukilan tersebut masih menjadi siulan ramai.

Pada masa sama, penyanyi yang aktif dalam dunia lakonan ini juga sudah menyiapkan single baharu yang dijangka dapat diterbitkan dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya lagu baharu memang sudah dirakamkan tetapi masih menunggu situasi masa kini reda dahulu.

“Saya juga dalam perancangan ingin berduet dengan penyanyi luar bagi dua lagi dendangan lain yang sudah siap sepenuhnya, cuma menunggu tarikh masuk studio rakaman

“Semoga keadaan pandemik Covid-19 ini berakhir dengan cepat untuk kita kembali seperti sedia kala,” luah Shiha lagi yang pernah berkolaborasi dengan band Indonesia, D’Masiv.

Katanya, walaupun kerjaya seninya tertangguh disebabkan keadaan semasa, Shiha tetap mempersiapkan diri sebelum masuk set penggambaran sebaik kerja rakaman dibenarkan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh, kita ikut saja peraturan yang digariskan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini

“Ikutkan kerja saya di Indonesia juga ada yang terpaksa ditunda, begitu juga beberapa penggambaran drama yang saya ditawarkan di sini.

“Jika segala-galanya berjalan lancar, selepas penggambaran dibenarkan saya bakal masuk set sebuah drama bersiri. Tak sabar juga nak kembali bekerja,” tambah artis asal Pulau Mutiara itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI