SEJAK pandemik Covid-19 melanda negara sekitar tahun lalu, media sosial hari ini bertukar menjadi platform utama menyebarkan pelbagai informasi, termasuklah lambakan kata-kata kesat terhadap golongan pemerintah.
Kemarahan tersebut bukan hanya kepada para menteri tetapi tempiasnya turut dirasai oleh ahli keluarga dan antara yang paling menjadi sasaran ialah Dafi, 33, iaitu anak kedua Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ismail Sabri.
Tidak menafikan mentalnya turut terkesan dengan tempias tersebut, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri bagaimanapun berusaha untuk ‘mengunci’ diri daripada melakukan perkara yang boleh menyemarakkan api kemarahan rakyat Malaysia.
Ikuti temu bual Pose bersama bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu mengenai perjalanan hidupnya sepanjang bergelar anak kepada Ismail Sabri yang digelarnya sebagai papa.
POSE: Sebagai pembuka, boleh Dafi kongsikan perasaan apabila bapa anda diumumkan sebagai TPM baru-baru ini.
DAFI: Sebagai seorang anak, saya tumpang gembira dengan pelantikan bapa. Kami sekeluarga sangat berbangga dengan setiap kejayaan yang diterima sepanjang papa (panggilan terhadap bapa) berkecimpung dalam bidang politik.
Bukan hendak terlalu mengaguminya tetapi papa layak untuk berada di kerusi tersebut. Segala penat lelahnya, tidak cukup tidur dan kerisauannya terhadap negara selama ini akhirnya terbayar.
Boleh kongsikan pendapat terutama perasaan apabila terdapat segelintir yang sering melemparkan kata-kata kesat terhadap bapa anda?
Siapa yang tidak terkesan apabila membaca semua komen-komen segelintir netizen itu. Sebagai anak memang terasa, itu normal, namun saya dan adik-beradik yang lain memang perlu kawal emosi. Jika saya membalas semula, saya juga sama seperti mereka dan tindakan sebegitu tidak akan menyelesaikan masalah atau meredakan kemarahan mereka pun.
Diam dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membusukkan lagi nama saya dan papa juga merupakan satu tugas besar sebenarnya. Mungkin orang akan maki saya kerana kenyataan ini tetapi inilah realiti yang sedang saya lakukan.
Mungkin bapa anda ada menitipkan pesanan untuk anda dan ahli keluarga yang lain dalam menempuh segala tohmahan orang ramai?
Papa tidak menitipkan sebarang kata-kata hikmah, semangat atau peribahasa kepada kami pun (ketawa). Pesannya hanya satu, jika terbaca atau ternampak keluhan, aduan, cadangan dan kesusahan rakyat dalam media sosial, kongsikan kepadanya. Papa akan cuba untuk membantu, menyalurkan bantuan dan membawa kesemua suara rakyat kepada pihak berwajib. Itu sahaja, tiada kata-kata istimewa pun .
Nama anda juga sering diseru dan di ’tag’ bersama-sama TPM dalam media sosial, sehingga ada jolokan ‘bapak Dafi’. Bagaimana reaksi anda?
Rasa lucu tetapi mungkin bagi mereka itu cara untuk golongan atasan dan individu lain membaca mesej yang hendak disampaikan.
Saya okey sahaja tetapi tidak sangka pula orang masih ingat saya sedangkan tiada produk pun dikeluarkan sejak beberapa tahun lalu. Gelaran ‘bapak Dafi’ itu secara tidak langsung memberi publisiti percuma. Terima kasih papa kerana bantu kekalkan nama saya dalam industri (ketawa).
Adakah susah menjadi anak kepada Ismail Sabri ketika ini?
Tipulah jika saya kata tidak. Syukur juga mental saya sudah bersedia sejak dalam Akademi Fantasia, siapa yang tidak tahan memang akan ‘koyak’.
Dalam masa sama, saya elakkan daripada berkongsi tentang kehidupan seharian. Risau sekiranya tengok muka saya dan teringatkan papa boleh membuatkan orang lain tertekan, lebih baik saya diam sahaja. Jika diikutkan, saya bernafas ketika ini pun dipandang sebagai kesalahan.
Satu perkara yang saya belajar ketika ini ialah, cuba memahami dan berfikir tentang situasi orang lain.
Selain itu, saya nak tekankan ialah saya juga sama seperti rakyat Malaysia lain, tetap mengikut prosedur operasi standard (SOP), tiada istilah anak menteri dan bebas melanggar undang-undang.
Sedikit nasihat atau saranan kepada rakyat Malaysia ketika ini?
Saya bukan orang yang layak untuk beri nasihat tetapi saya sentiasa doakan agar setiap kesusahan yang dialami ketika ini akan diangkat Tuhan secepat mungkin dan dihujani dengan kesenangan. Sebaik-baiknya, kurangkan berkongsi tentang kesenangan hidup dalam media sosial, kita tidak tahu perkara yang dimuat naik boleh membuatkan orang lain ‘stres’.