KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan RichWell (RichWell) menyerahkan 400 lagi kotak makanan dan keperluan asas kepada penduduk di Flat Sri Sabah serta Desa Pandan semalam.
Timbalan Naib Presiden Kanan RichWorks International Sdn. Bhd., Radz Mohd. berkata, kotak makanan itu diagihkan dengan kolaborasi bersama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
“Alhamdulillah, hasil sumbangan orang ramai terutama usahawan dalam kempen #RichWellBantu Usahawan Bangkit Menyumbang membolehkan penyerahan kali kedua selepas kali pertama pada 10 Julai lalu.
“Kempen ini tidak akan berhenti di sini saja, RichWell masih lagi menerima sumbangan daripada usahawan-usahawan dan orang ramai yang prihatin dengan kesusahan dihadapi anggota masyarakat ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sumbangan kotak makanan keperluan asas itu diserahkan oleh Naib Presiden Mentorship Richworks, Muhammad Hafiz Jasmi kepada wakil persatuan penduduk di kawasan berkenaan.
Turut hadir, Ahli MAIWP, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahboob; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Nizam Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan Naib Presiden Penjenamaan dan Kandungan, Om Karini Karean. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929