PETALING JAYA – “Mai ambil, free-free, ‘ampa’ isi sendiri dalam beg plastik, rezeki kita kongsi bersama”.
Itu antara dialek seorang peniaga ketika ‘menjemput’ pengguna jalan raya untuk singgah ke gerainya bagi menikmati durian secara percuma.
Gelagat peniaga itu mula tular di laman Facebook semalam selepas klip video berdurasi dua minit 57 saat itu dimuat naik oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai Badli Shah semalam.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi peniaga tersebut membuat sumbangan ‘sedekah durian’ itu.
Namun, Kosmo! difahamkan ia berlaku di sebuah kawasan di sebelah utara Semenanjung Malaysia berdasarkan dialek peniaga terbabit.
Susulan tular klip video itu, rata-rata orang ramai memuji tindakan peniaga tersebut yang tidak ‘lokek’ berkongsi rezeki dengan orang lain dan mendoakan agar peniaga tersebut dimurahkan rezeki selalu.
“Semoga dimurah rezeki pakcik ni, dipanjangkan umurnya, semoga dijauhkan penyakit Covid-19 ni dari dia dan keluarganya, amin,” tulis Salina Eina pada ruangan komen.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Zaty Ramzi.
“Murah rezeki dia, bagus kongsi rezeki,sebab tak semua mampu beli raja buah sekarang,” katanya.
Seorang lagi pengguna yang telah meninggalkan komen dikenali sebagai Amy Mariny Hassan.
“Alhamdulillah, kalau la semua tempat ada macam ni kan bagus, kalau saya kat Sabah nak free, beli tiket ke Perak dah berapa.
“Lagipun tak boleh rentas negeri, semoga Allah memperluaskan rezeki mu wahai pakcik.amin,” ujarnya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929