fbpx

Lelaki menderita alami sindrom tidur 25 hari sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Pukharam dikesan sejak 23 tahun lalu. - Google

NEW DELHI – Seorang lelaki dari negeri Rajasthan , India mengalami satu sindrom luar biasa apabila akan tidur selama 300 hari dalam setahun, lapor akhbar Times Of India, kelmarin.

Pukharam, 42, yang berasal dari daerah Nagaur dilaporkan akan tidur selama 20 hingga 25 hari bagi setiap kali dia melelapkan mata.

Dia dikesan mempunyai keadaan digelar Axis Hypersomnia sejak 23 tahun yang lalu dan sejak itu, ia mempengaruhi kehidupan sehariannya kerana ahli keluarga sukar untuk membangunkannya jika dia tertidur.

Axis Hypersomnia adalah gangguan tidur neurologi kronik yang menyebabkan mengantuk pada waktu siang atau waktu tidur yang panjang selama lebih 10 jam dalam tempoh 24 jam.

Menurut kajian, Axis Hypersomnia berlaku kerana turun naik protein otak yang dikenali sebagai TNF-alpha.

“Pada mulanya, dia biasa tidur selama lebih dari 5 hingga 7 hari sekaligus. Bimbang dengan situasi itu, kami meminta nasihat perubatan tetapi penyakitnya tidak dapat disembuhkan.

“Lama-kelamaan, keadaannya bertambah buruk, tempoh tidurnya semakin bertambah dan sekarang dia tidur untuk 20-25 hari sebulan, “kata ahli keluarganya.

Disebabkan gangguan itu, Purkharam hanya boleh membuka kedai runcitnya selama lima hari dalam sebulan dan bahkan mungkin tertidur ketika sedang bekerja.

Selain itu, ketika dia tertidur, segala aktiviti harian seperti mandi dan makan akan dilakukan oleh ahli keluarganya.

Menurut Pukharam, meskipun sering mengambil vitamin dan tidur berlebihan, dia cepat berasa penat kerana badannya tidak menjalani sebarang aktiviti sihat.

Dia turut berdepan dengan masalah sakit kepala yang serius.

Walaupun belum ada penawar untuk keadaan Pukhram, isterinya, Lichmi Devi dan ibunya, Kanvari Devi berharap agar dia cepat sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti sebelumnya.

Pakar perubatan, Dr Birma Ram Jangid memberitahu, bahawa sindrom Axis Hypersomnia sangat jarang ditemui dan ia diklasifikasikan sebagai gangguan psikologi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI