PETALING JAYA – Anggota dan petugas keselamatan negara diarah bersiap sedia untuk menghadapi pertambahan kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk untuk pulang ke kampung menjelang sambutan Aidiladha dua hari lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan telah diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.
“Jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai lalu iaitu sebanyak 4,839 sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.
“Kerajaan menasihatkan orang ramai supaya tidak curi-curi pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah pada Aidilfitri lalu perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929