SUNGAI PETANI – Tiada pertambahan kenderaan luar biasa berlaku di Plaza Tol Sungai Petani Selatan setakat hari ini walaupun menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Selasa ini.
Tinjauan Kosmo! di Plaza Tol Sungai Petani Selatan dan kawasan sekitarnya mendapati aliran trafik adalah sama seperti hujung minggu biasa yang mana jalan raya kelihatan lengang berbanding hari bekerja.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, aliran trafik pada hari ini adalah sama seperti aliran trafik pada kebiasaan setiap hujung minggu.
Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di daerah Kuala Muda sejak 1 Jun lalu hingga kini, purata harian jumlah pemeriksaan kenderaan adalah antara 7,000 hingga 10,000 ribu kenderaan sehari.
Sementara itu, di Perlis, jumlah kenderaan yang memasuki negeri itu hari ini didapati berkurangan sejak awal pagi tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, beliau dimaklumkan mengenai penurunan tersebut oleh Ketua Polis Daerah di tiga sekatan jalan raya (SJR) yang memasuki negeri ini dari Kedah iaitu SJR Pauh, SJR Jelempok di Arau dan SJR Kilometer 17 Simpang Empat di Kangar.
Katanya, statistik sebenar bagaimanapun hanya boleh diketahui pada tengah malam ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929