PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini mengesahkan gambar tular dikongsi netizen mengenai proses pengebumian beramai-ramai jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu adalah di bawah seliaan mereka.
Perkara itu dimaklumkan Jawi menerusi laman sosial rasmi mereka, pagi ini dan sebanyak 11 jenazah telah dikebumikan secara serentak pada waktu itu.
“Beginilah suasana pada petang hari Jumaat yang lalu di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah Bukit Kiara seliaan kami.
“Sejak lebih setahun lalu, pasukan kami pada petang itu untuk pertama kalinya menerima 11 jenazah serentak untuk dikebumikan,” katanya.
“Komitmen agar jenazah dapat diuruskan dengan sempurna dan sesegera mungkin,” katanya.
Katanya, pihaknya sentiasa mendoakan agar dikurniakan keampunan dan kerahmatan kepada jenazah.
Baru-baru ini, seorang netizen berkongsi sekeping gambar memaparkan deretan van membawa jenazah di Pusat Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah Bukit Kiara.
Gambar itu kemudian tular dan mengundang rasa sedih netizen di laman sosial. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929