MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti percaya pemain pertahanan, David Alaba mampu menjadi watak penting buat pasukan itu mencabar kejuaraan La Liga musim depan.
Pemain antarabangsa Austria itu mengambil keputusan berhijrah ke Santiago Bernabeu selepas 13 tahun menabur bakti bersama pasukan gergasi Bundesliga, Bayern Munich.
Ancelotti nyata gembira dengan kehadiran Alaba memandangkan beliau pernah melatih pemain berusia 29 tahun itu ketika membimbing Bayern Munich.
“Alaba adalah seorang pemain yang serba lengkap. Dia memiliki kualiti dari segi taktikal serta bijak ketika mengendalikan bahagian pertahanan.
“Ketika bersama Bayern, saya sering mengubah posisinya kerana dia seorang pemain versatil. Dia boleh bermain di mana-mana posisi dengan selesa,” katanya.
Bekas pengurus Everton itu juga percaya Alaba mampu mengisi kekosongan ditinggalkan legenda Los Blancos, Sergio Ramos yang menyertai Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma.
Sementara itu, beliau juga menaruh sepenuh keyakinan skuad kendaliannya akan kembali menampilkan aksi lebih baik, sekali gus menebus kekecewaan gagal memenangi La Liga musim lalu.– AGENSI