PUTRAJAYA – Tindakan segelintir peniaga di Pasar Awam Taman Seri Gombak dekat ibu negara yang hanya meletakkan tanda harga ketika ada penguat kuasa akhirnya terbongkar hasil penyamaran 15 anggota Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dari ibu pejabat Putrajaya hari ini.
Menurut Pengarahnya, Azman Adam, pasukan itu melaksanakan Ops Samar susulan aduan diterima mengenai sikap peniaga ‘berlakon’ apabila ada tinjauan penguat kuasa beruniform.
“Mereka cuma letak tanda harga ketika pegawai kementerian berpakaian seragam hadir untuk pemeriksaan, tetapi apabila beredar, ia tidak dipamerkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Operasi pemantauan itu diketuai sendiri Azman bagi memastikan pematuhan penandaan harga sepanjang masa dan bukan hanya dibuat ketika penguat kuasa datang pada waktu tertentu.
Pasar moden yang terletak di Jalan SG 3/7, Taman Seri Gombak, Gombak itu diuruskan oleh Majlis Perbandaran Selayang dan mempunyai 87 premis niaga.
“Hasil pemantauan setakat ini, boleh dikatakan kadar pematuhan penandaan harga adalah 70 peratus, manakala bakinya masih ada peniaga gagal berbuat demikian,” jelasnya yang turut memberitahu Ops Samar turut dijalankan di beberapa pasar awam di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sejak beberapa hari lepas. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929