PETALING JAYA – Seramai 375 warga kerja Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) telah mendapat suntikan vaksin pertama menerusi Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, inisiatif tersebut merupakan kerjasama Prolintas dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga kerjanya.
“Ianya juga adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi mempercepatkan pengambilan vaksinasi terhadap pekerja yang terlibat dalam industri perkhidmatan dan pembinaan.
“Kesihatan dan keselamatan adalah penting ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pencapaian imuniti berkelompok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, program vaksinasi itu melibatkan kakitangan Prolintas yang berkhidmat di ibu pejabat serta di empat lebuh raya seliaannya; Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Kajang SILK (SILK).
“Kakitangan yang bekerja di dua projek pembinaan lebuh raya juga terlibat iaitu Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH),” ujarnya.
Menurutnya, lebih separuh daripada 630 kakitangan Prolintas telah mendapat vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929