RANTAU PANJANG – Sebanyak 169 ekor lembu di negara ini disahkan positif penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) sejak bulan April lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jumlah itu diperoleh hasil daripada pemeriksaan di 12,757 premis yang telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Jumlah itu bermula hujung April hingga semalam. Kita akan lupuskan lembu-lembu itu bagi memastikan wabak tersebut tidak menular sekali gus menyelamatkan ternakan di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan rampasan ayam sejuk beku di Stesen Maqis Rantau Panjang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Che Abdullah memberitahu, kerajaan telah menghentikan aktiviti mengimport lembu-lembu dari Thailand dan langkah itu dilihat berjaya mengurangkan jangkitan LSD daripada terus menular di negara ini.
Katanya, selain itu, kerajaan turut mengehadkan pergerakan haiwan ruminan dari satu negeri ke negeri lain dalam usaha membendung jangkitan tersebut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929