PETALING JAYA – Tidak mahu melihat rakyat Malaysia bertelagah sesama sendiri, pelakon Sharnaaz Ahmad menyeru penyanyi dan aktivis Caprice pulang segera ke tanah air bagi menyelesaikan persengketaannya dengan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew (UEL).
Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 35, menerusi InstaStorynya meminta Caprice yang kini berada di Cairo Mesir pulang segera dan mendapatkan rawatan bagi memulihkan jiwanya.
“Kepada Caprice, saya sayang awak sebagai seorang kawan. Pulanglah ke sini dan dapatkan rawatan, kami akan berikan sokongan sepenuhnya.
“Berhenti lakukan semua sekarang, tetapkan fikiran dan rawatlah jiwa yang luka itu. Insya-Allah akan dapat tangani perkara ini dengan lebih baik,” ujar pelakon filem Jebat itu.
Tambah bapa kepada Jebat Jayden itu, dia turut memhon agar persengketaan antara pemilik nama penuh Ariz Ramli dengan pihak UEL dihentikan segera.
“Jangan dan berhentilah bergaduh, malu dengan pihak luar yang melihat rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri.
“Kami di sini mahukan ‘berita apa hari ini’ bukannya ‘apa yang sedang berlaku’,” ujarnya lagi.
Semalam, Sharnaaz turut bersiara langsung bersama Caprice dalam Instagram dan menitipkan nasihat kepada Caprice agar tidak terlalu menghebohkan masalah yang dihadapinya kepada umum.
“Lebih baik selesaikan masalah ini mengikut protokol. Jangan jadi perangai budak-budak dan bergaduh sesama orang Islam,” pesan Sharnaaz kepada Caprice.
Sejak beberapa hari lalu, nama Caprice menjadi bualan hangat netizen selepas dia mendedahkan situasi yang berlaku di Gaza, Palestin.
Malah, dia turut mendedahkan UEL telah menyekatnya dalam Instagram serta memberi bayangan bahawa UEL antara punca dia masih tidak dibenarkan masik ke Gaza sheingga hari ini. – K! ONLINE