SHAH ALAM – Dua tanah perkuburan Islam iaitu Seksyen 21 dan Selat Klang dikhususkan untuk pengurusan jenazah Covid-19 bagi mereka beragama Islam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu adalah inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat agar masa yang diambil dalam menguruskan jenazah dapat disingkatkan sebaik mungkin bagi mengurangkan kesesakan dan limpahan jenazah.
Katanya, bagi jenazah bukan Islam pula akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan pengebumian dan pengurusan krematorium yang bersesuaian.
“Saya telah dimaklumkan mengenai beberapa kekangan dalam isu pengurusan jenazah Covid-19 di beberapa buah hospital sebelum perbincangan dilakukan dengan Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) Rabu lalu diikuti dengan beberapa lagi perbincangan susulan dengan agensi negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ketika ini, terdapat tiga hospital iaitu Hospital Shah Alam, Hospital Sg Buloh dan Hospital Klang yang telah dikhususkan untuk menguruskan hal-ehwal berkaitan mangsa Covid-19 sama ada muslim mahupun yang bukan Islam, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, turut telah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi menyelaraskan urusan jenazah yang bukan warga negara (BWN).
Justeru, Amirudin berharap usaha ini dapat memelihara kebajikan rakyat serta meletakkan aspek kesihatan awam sebagai salah satu agenda utama kerajaan negeri.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di tanah perkuburan Islam Seksyen 21 hari ini mendapati terdapat lima jenazah Covid-19 dikebumikan di kawasan tersebut.
Seorang penjaga kubur di lokasi tersebut dikenali Man, 50, memaklumkan berdasarkan rekod sebanyak 187 jenazah Covid-19 telah dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.
“Jenazah Covid-19 paling banyak ditanam adalah sebanyak 12 kes setakat ini.
“Kesemua jenazah berusia antara 30 hingga 80an,” jelasnya. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929