KUALA LUMPUR – Keseronokan dua lelaki tempatan yang sedang berhibur bersama beberapa wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah KTV terkenal di Bukit Bintang tidak sampai kemuncak apabila diserbu polis awal pagi, hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, serbuan ke premis tersebut dilakukan empat pegawai dan 21 anggota polis dengan diketuai Asisten Superintendan Ridhuan Abdul Razak bermula pukul 2 pagi.
“Serbuan menerusi Ops Noda itu dilakukan selepas polis mendapati wujud kegiatan GRO, pelacuran dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di premis berkenaan.
“Seramai 15 individu berumur antara 19 hingga 57 tahun berjaya diberkas yang terdiri daripada seorang pengurus premis, empat pekerja, dua pelanggan dan lapan wanita GRO warga Vietnam.
“Turut dirampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk berhibur antaranya alat pembesar suara, mikrofon, set audio karaoke dan kondom,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.
Jelasnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang pekerja dan lima GRO positif dadah jenis syabu.
Katanya, kesemua orang kena tahan (OKT) itu direman hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 55 B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(b) Akta Imigresen, Seksyen 4(1) Akta Hiburan dan Seksyen 22(b) Seksyen 22 (b) Perintah Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988. – K! ONLINE