ALOR GAJAH – Seramai lima pesakit meninggal dunia manakala 58 individu termasuk kakitangan Hospital Alor Gajah di sini dirawat selepas dijangkiti Covid-19 daripada pesakit positif di pusat perubatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua pesakit yang meninggal dunia berusia 60 tahun ke atas dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, penularan Kluster Paya Datuk itu dipercayai berlaku selepas hospital berkenaan menerima dan merawat pesakit Covid-19, dua minggu lalu.
“Pada 10 Julai, dua kakitangan di Wad 2A disahkan dijangkiti wabak tersebut dan hasil saringan kontak dilakukan setakat hari ini mendapati seramai 58 individu positif Covid-19.
“Lima pesakit telah meninggal dunia akibat kluster ini, selebihnya mereka yang dijangkiti melibatkan 32 pesakit, 16 kakitangan dan 10 ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, bagi mengawal penularan itu, pihak pengurusan hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri telah menutup sementara kemasukan Wad 2A dan 2B bagi kerja-kerja disinfeksi.
“Semua kes bukan Covid-19 yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak.
“Bagi pesakit kes ringan dan bukan kecemasan digalakkan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Alor Gajah dan klinik-klinik yang berhampiran,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929