KALI terakhir penyanyi kelahiran Halifax, West Yorkshire, England ini muncul dengan ‘buah tangan’ untuk khalayak muzik global ialah sekitar dua tahun lalu menerusi diskografi yang memuatkan hit, I Don’t Care (featuring Justin Bieber).
Secara peribadi buat penulis, album berjudul No.6 Collaborations Project tersebut barangkali yang paling teruk pernah diluncurkan Ed Sheeran. Terlalu banyak ‘bintang’ dalam projek berkenaan sehingga seperti berlebihan apa yang ingin disampaikan kepada peminat.
Tahun 2021, pemuzik yang sangat dikenali dengan antem ‘stripped-down’ itu muncul dengan single terbaharu berjudul Bad Habits.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/07/2-4.jpg)
Ketika mula mendengar lagu ciptaan Ed, Fred Gibson dan Johnny McDaid itu, penulis tidak begitu menggemarinya kerana kedengaran sangat berlainan daripada imej muzik Ed.
Namun, selepas memberi perhatian beberapa kali, lagu tersebut menjadi semakin enak. Bukan Ed yang biasa kita dengari atau kenali, namun percayalah, seseorang pemuzik tidak akan berganjak ke hadapan kalau hanya duduk di bangku yang sama.
Dari segi komposisi muzik, lagu muzik videonya bertemakan puntianak, ‘villain’ atau apa-apa sahaja peminat kelaskan itu tidak lebih daripada sebuah antem dance-pop yang mudah meresap ke dalam jiwa pendengar.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/07/ed-sheeran-Bad-Habits-Single-Art-billboard-1548-1623420578-compressed-1024x677.jpg)
Cuma, ramai berpendapat yang Ed barangkali ada mencedok rentak daripada lagu yang hampir sama lantunan bunyinya iaitu Cry For You nyanyian penyanyi Sweden, September yang terkenal sekitar 2008.
Dalam pada itu, walaupun penulis sukakan dengan perubahan atau eksperimentasi yang dilakukan Ed, itu tidak bermaksud yang Ed Sheeran yang lama perlu dilupakan begitu sahaja.
Perlu diingatkan, Ed Sheeran adalah satu nama yang sangat tidak asing, terutama kalau berlangsungnya acara berprestij dunia, Grammy Awards. Cuma kebelakangan ini, prestasinya agak merosot. Dia pernah menang empat trofi Grammy dan menerima sebanyak 14 nominasi sejak mula aktif tahun 2004.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/07/1-3.jpg)
Dengan Bad Habits, secara peribadi, penulis tidak merasakan lagu ini mempunyai peluang untuk mengulangi pencapaiannya ketika era supremasinya misalnya ketika Thinking Out Loud menjadi siulan seluruh dunia.
Jika mampu melonjak ke carta Billboard Hot 100, mungkin ada peluang, namun setakat minggu lalu, Butter nyanyian BTS masih merajai carta berkenaan sementelah Bad Habits hanya duduk di tangga keenam.
Secara keseluruhan, Bad Habits merupakan satu karya yang bertaraf ‘okey’ daripada Ed. Satu karya bernuansa pop yang barangkali membuatkan pendengar lupa akan segala permasalahan dunia sekarang waima hal berkaitan cinta.